suria

Parlimen Belia Catat Sejarah, 133 Perwakilan Mula Bersidang

Datuk Ronald Kiandee (kanan) mempengerusikan Persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM) yang disertai oleh 133 ahli Perwakilan Belia Malaysia (APBM) yang bersidang buat kali pertama bermula Sabtu sehingga Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Parlimen Belia Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri apabila bersidang buat kali pertamanya melibatkan 133 perwakilan yang membahaskan pelbagai usul dalam suasana tenang dan terkawal di Dewan Rakyat pada Sabtu.

Persidangan yang bermula 10 pagi dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee dan disusuli dengan bacaan doa.

Seperti persidangan Dewan Rakyat, anggota dan pegawai Dewan turut hadir termasuk Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah.

Ronald dalam ucapan ringkasnya berkata perwakilan diharapkan dapat berbahas dengan bijak dan matang dengan mengemukakan idea-idea bernas tentang isu semasa untuk dibahaskan.

Beliau juga percaya, pada akhir perbahasan nanti, perwakilan mampu merangka pelbagai program belia untuk dimajukan kepada Kementerian Belia dan Sukan dan pihak-pihak lain untuk maklum balas seterusnya.

Persidangan kemudian dimulakan apabila anggota Jawatankuasa Pendidikan dan Kerjaya, Mohd Abroar Mohd Sidek, (perwakilan Selangor 10) bangun dan mencadangkan kerajaan menubuhkan 'Skim Biasiswa Kecemerlangan Kemahiran' (SBKK) untuk membantu pelajar kemahiran melanjutkan pelajaran.

Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira dua tahun lepas dan ia antara lain bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan negara masa kini dan akan datang.

Daripada 133 anggota belia yang terlibat dalam persidangan Parlimen Belia hari ini, seramai 13 orang dilantik, dan selebihnya dipilih.

Terdapat sembilan jawatankuasa dalam sistem Parlimen Belia ini iaitu Sosioekonomi; Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Keselamatan, Undang-undang dan Integriti; Pendidikan dan Kerjaya; Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integrasi; Infrastruktur, Pembangunan dan Alam Sekitar; Komuniti Pembangunan dan Kesihatan; Teknologi dan Inovasi; Rohani dan Agama.

Untuk persidangan pertama ini, sebanyak sembilan usul akan dibentang dan dibahas dalam masa 90 minit dan dijangka kesemua usul dapat dihabiskan dalam tempoh dua hari persidangan.

Parlimen Belia

Artikel Lain