suria

QZ8501: Cari Mayat Mangsa Lebih Penting Daripada Kotak Hitam

Ignasius (kanan) menegaskan misi mencari 114 lagi mayat mangsa menjadi keutamaan buat masa ini.
JAKARTA: Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan menegaskan usaha mencari baki mayat penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 adalah menjadi keutamaan berbanding menjejaki kotak hitam pesawat itu.

"Misi mengesan kotak hitam pesawat itu bukanlah perkara penting tetapi pencarian baki mayat penumpang menjadi keutamaan," katanya di pusat operasi SAR di Ibu Pejabat Polis di Jawa Timur di Surabaya pada Sabtu.

Beliau berkata, sejajar dengan arahan Presiden Joko Widodo' Jokowi', misi mencari baki mayat akan diteruskan sehingga kesemuanya dijumpai.

"Pasukan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) tidak akan berhenti mencari mayat penumpang dan akan terus fokus untuk mencari penumpang sama ada yang telah meninggal dunia atau masih hidup," katanya yang dipetik oleh agensi berita Antara.

Anggota Basarnas sedang meneliti ekor pesawat tersebut.

Semasa lawatan itu, beliau turut bertemu waris mangsa yang mayat ahli keluarga mereka masih belum ditemui dan memohon bantuan mereka terhadap misi SAR yang sedang dijalankan.

Pasukan Basarnas kini sedang mencari baki 114 mayat penumpang yang masih belum dijumpai.

Basarnas turut mengerahkan beberapa kapal perang di dalam operasi itu yang diketuai oleh Komander Tentera Indonesia, Jeneral Moeldoko untuk menjejaki kotak hitam pesawat tersebut berikutan penemuan isyarat ping pada Jumaat lalu.

Bahagian ekor pesawat tersebut dibawa naik ke permukaan air pada Sabtu tetapi tiada kotak hitam ditemui di dalamnya.



Artikel Lain