Muhyiddin, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Paulsen terhadap Jakim di Twitter itu berkata tindakan Paulsen mesti ditangani sewajarnya.
"Pihak berkuasa perlu menyiasat kenyataan Paulsen dan mengambil tindakan yang sewajarnya memandangkan ramai orang bukan Islam tidak faham apa itu Islam sebenarnya.
"Islam bukanlah satu agama pelampau, (dan) sejak bila ada orang kita (rakyat Malaysia) bertindak luar biasa? Islam adalah agama yang paling sederhana," katanya.
Beliau berkata dakwaan khutbah Jumaat yang menyeleweng tidak sepatutnya berlaku sama sekali kerana khutbah tidak hanya berkisar cara hidup Islam tetapi juga isu kemasyarakatan dan kemanusiaan.
"Mungkin Paulsen sama sekali tidak tahu mengenai perkara ini atau tidak belajar mengenai Islam," katanya.
Paulsen telah membuat kenyataan yang menuduh Jakim menyebarkan ekstremisme setiap hari Jumaat (melalui khutbah) di laman Twitternya pada 9 Januari.