Paulsen, yang membuat laporan polis di ibu pejabat polis di sini berkata beliau menerima beberapa ancaman melalui Twitter dan aplikasi mesej segera Whatsapp pada hujung minggu ketika berada di pejabatnya.
"Saya mengambil ugutan-ugutan ini sebagai sesuatu yang sangat serius kerana ia adalah sebahagian daripada kempen fitnah yang berniat jahat menuduh saya menghina Islam. Ini adalah tuduhan palsu," katanya.
"Saya hanya mengkritik Jakim, sebuah agensi kerajaan. Saya tidak pernah menyebut Islam dalam 'tweet' saya," kata Paulsen, yang menggesa polis untuk menyiasat ugutan yang diterimanya.
Selepas menerima tindak balas dari netizen, Paulsen menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk menghina Islam dengan menuduh Jakim menggalakkan ekstremisme. Tweet tersebut telah dipadam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata komen itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan.