PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung aksi sumbang yang berlaku pada konsert kumpulan pop korea (K-Pop), B1A4 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, pihaknya kesal terhadap perbuatan peluk dan cium antara ahli kumpulan K-Pop berkenaan dengan beberapa peminat wanita beragama Islam yang bertudung. Katanya, perlakuan beberapa peminat itu dilihat melampaui batas dan bertentangan dengan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini. "Sehubungan itu, bahagian penguatkuasaan Jawi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam. "Mereka yang terlibat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop tersebut bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi sehingga menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial. Paimuzi berkata, akta itu memperuntukkan individu yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan hukum syarak di mana-mana tempat awam adalah suatu kesalahan. "Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya. Beliau menambah, Jawi akan melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti dan keterangan yang mencukupi.