KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong China melawat Malaysia tahun ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Beliau berkata, Malaysia kehilangan kira-kira 540,000 pelancong China tahun lepas berikutan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370. Pesawat itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. "Di samping mencari pasaran baharu, perluasan kegiatan pemasaran kami tetap bertumpu pada pasaran China. Sekiranya kami dapat menambah baik sedikit pasaran semasa dan jumlah ketibaan pelancong berbanding pada 2014, mungkin kami boleh mencapai sasaran 29 juta (pelancong) tahun ini," katanya. Beliau berkata kepada pemberita demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah-pengarah Seberang Laut Tourism Malaysia 2015 di sini Isnin. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 152 warga China ketika hilang daripada radar. Nasib kesemua 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat berkenaan masih belum diketahui, walaupun pengumuman rasmi dibuat bahawa laluan penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi. Mohamed Nazri berkata, ketibaan pelancong China menurun 35 peratus, masing-masing pada Mei dan Jun 2014 berikutan tragedi yang menimpa Penerbangan MH370, tetapi kembali mencatat perkembangan positif mulai Oktober. "Ini merupakan petanda baik bahawa rakyat China sudah datang kembali. Saya fikir, sekiranya kita memasarkan Malaysia secara agresif di China, tahun ini, angka dari China akan meningkat," katanya. Kerajaan berharap dapat mencatat ketibaan 29.4 juta pelancong dan menjana hasil berjumlah RM89 bilion pada tahun ini. Ditanya tentang cadangan pemberian visa percuma (VFF) kepada pelancong China, Mohamed Nazri berkata ia perlu menunggu pengesahan kabinet. Bagaimanapun, beliau berharap ia dapat dilaksanakan dengan cepat, terutama dengan kedatangan Tahun Baharu Cina pada Februari. Mesyuarat lima hari itu, yang bermula 9 Januari, antara lain memberi fokus terhadap program pemasaran bagi mempromosi Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015). Kira-kira 50 acara utama telah dikenal pasti untuk dipromosikan, termasuk enam Majlis Rumah Terbuka, Festival Muzik Hutan Hujan Dunia, Pesta Gendang, Festival Topeng Antarabangsa, Iftar@KL pada Ramadan dan Royal Floria Putrajaya 2015. Bertemakan "Endless Celebrations", MyFest 2014 dijangka melonjakkan industri pelancongan Malaysia ke peringkat lebih tinggi untuk memberi manfaat kepada semua sektor berkaitan industri itu, di samping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.