PETALING JAYA: Pelawaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, untuk bermesra dengan pengikutnya di laman Facebook pada malam Ahad sebaliknya mengundang pelbagai kritikan dan sindiran tajam untuk anak bekas Menteri Besar Kelantan itu. Kira-kira jam 4.15 petang Ahad, Nik Abduh yang jarang-jarang dilihat meminati bola sepak, memuat naik statusnya mengenai rancangannya pada malam berkenaan. Melalui status itu, Nik Abduh menulis: "Saya akan online di FB malam ni 9pm-12am (rehat sambil tengok EPL hehe). Jika anda bertanya, saya akan jawab segera insya Allah." Berdasarkan jadual perlawanan bola sepak, waktu Nik Abduh 'melepak' itu televisyen menayangkan perlawanan kelab Arsenal menentang Stoke City. Tidak diketahui sama ada Nik Abduh peminat kelab Arsenal atau Stoke City. Ketika disemak Isnin, status Nik Abduh itu mendapat lebih 500 like dan dikongsi dua akaun lain. Namun, di bawah status itu pelbagai komen ditulis dengan kebanyakannya bersifat menyindir dan mengaitkannya dengan kecenderungan Nik Abduh mengukuhkan pengaruh kumpulan ulama dalam PAS, selain kerana rakyat Kelantan kini masih berhadapan masalah akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini. Pemilik akaun Kameel Abuya misalnya menulis: "Epl kan ditaja syarikat judi..yb bleh bg pencerahan ckit yb?" Md Zik pula bertanya: "camana selut kat pasir mas dah ilang ke?" Pemilik akaun Ahmad Nizab pula lebih 'kejam' apabila menulis: "semoga rakyat pasir mas berada dalam sejahtera hendaknya dan semoga mangsa2 banjir di pasir mas sudah terbela oleh wakil rakyatnya yang mesra rakyat penyanyang serta berdedikasi. untung rakyat pasirmas. yg nya sempat lagi berehat setelah membantu rakyatnya. rakyat masih bayat kemah yb empuk dalam rumah. tahniah" Namun untuk perbandingan, ada juga pengikut akaun itu yang bersikap lebih lembut dan mesra. Antaranya Adli Rahman yang mendoakan kesihatan Nik Aziz dengan menulis: "Ayahanda sihat ke ustaz?kito syg t.guru...." Berdasarkan tinjauan ringkas, hanya satu atau dua saja komen di bawah status berkenaan mengemukakan soalan berkaitan agama, seperti Aman Shafii yang bertanya sama ada betulkah apabila lelaki dan perempuan bersalaman hukumnya harus jika tiada rasa nafsu. Namun sehingga jam 10 malam ini, tiada satu pun persoalan dipaparkan di situ mendapat jawapan balas daripada Nik Abduh.