KOTA KINABALU: Seorang lelaki di Kg Pondo, Pulau Gaya, dekat sini disyaki membunuh isterinya menggunakan pisau pemotong daging selepas isterinya itu dipercayai enggan memberinya wang untuk membeli syabu. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 2.25 pagi Ahad, di sebuah rumah tidak bernombor itu, suspek naik berang lalu menetak isterinya, 54, sampai mati sebelum membakarnya menggunakan minyak petrol. Dalam kejadian itu, suspek turut menetak anak angkatnya yang berumur enam tahun sebelum menaiki bot dan menyerah diri di Pangkalan Polis Marin Kota Kinabalu. Anak angkat suspek dihantar ke hospital oleh penduduk di pulau itu dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Menurut Chandra pisau yang digunakan suspek menetak kedua-dua mangsa telah ditemui, dan menganggap kes berkenaan selesai.