KOTA Vladivostok adalah kota Rusia yang terbesar di Asia Timur Jauh. Berfungsi sebagai sebuah kota pelabuhan, Vladivostok dianggarkan didiami oleh hampir 600,000 orang.
Moscow, ibu kota Rusia terletak kira-kira 9,000 km jauhnya dari Vladivostok. Kota ini mempunyai cuaca empat musim, sangat indah terutamanya pada musim bunga, namun jarang sekali dikunjungi warga Malaysia kerana jaraknya yang agak jauh (walapun terletak di zon waktu yang hampir sama) dan sukar dikunjungi kerana tiada penerbangan langsung dari Kuala Lumpur.
Selain terkenal sebagai sebuah kota pelabuhan dan pelancongan, Vladivostok juga dikenali sebagai sebuah kota ilmu. Sebuah universiti ternama di Rusia, Far Eastern Federal University (FEFU) terletak kira-kira 23km dari pusat bandar Vladivostok seringkali menerima para pelajar dari negara-negara yang berdekatan seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
FEFU juga pernah menjadi hos kepada penganjuran sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada tahun 2012 yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Bergambar berlatarbelakangkan Kota Vladivostok.
Jemputan ini juga adalah yang pertama seumpamanya bagi seorang warga Malaysia ke Sekolah Undang-undang, FEFU. Ia adalah lanjutan daripada pertemuan penulis dengan salah seorang ahli akademik FEFU, Dr Roman Dremliuga sewaktu penulis menghadiri sesi sekolah musim panas di Xiamen University pada tahun 2013.
Hotel penginapan penulis sepanjang tempoh berada di Rusia.
Kampus FEFU di Pulau Frunzenskiy Rayon mempunyai lima buah bangunan hotel universiti yang dahulunya digunakan bagi tujuan sidang kemucak APEC. Pihak FEFU menempatkan penulis di hotel yang terletak betul-betul bersebelahan dengan bangunan Sekolah Undang-undang, FEFU bagi memudahkan pergerakan.
Menjelang tengah malam, suhu masih serendah -20 darjah Celcius.
PROFESOR PELAWAT
Tugas penulis di FEFU bermula pada hari Khamis, 11 Disember 2014. Penulis diminta oleh rakan sejawatan, Dr Roman Dremliuga untuk mengajar dalam beberapa siri kuliah program ijazah sarjana muda undang-undang.
Sesi kuliah dengan para pelajar Sekolah Undang-undang, FEFU.
Boleh dikatakan kemudahan infrastruktur FEFU adalah bertaraf dunia membuatkan penulis berasa cemburu dengan kemajuan Rusia – walaupun mereka dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, ternyata negara ini masih mampu untuk berdiri teguh dan maju ke hadapan.
Sebagai profesor pelawat, penulis dikehendaki untuk mengajar subjek undang-undang laut antarabangsa dalam sebuah kelas yang mempunyai lebih daripada 30 orang pelajar yang rata-ratanya adalah pelajar dari Rusia. Hanya sebilangan dari mereka yang fasih berbahasa Inggeris. Ini sedikit sebanyak mencacatkan komunikasi di antara kami tetapi tidaklah sehingga menjejaskan kelancaran kuliah dan pengajaran.
Anak-anak Rusia mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Selain daripada kuliah yang penulis sampaikan itu, mereka juga banyak bertanya dalam sesi soal jawab. Daripada soal sistem perundangan ke sistem ekonomi Malaysia, penulis dihujani dengan pelbagai jenis soalan.
Namun apa yang menarik perhatian penulis adalah sifat ingin tahu mereka mengenai Islam. Sebagai sebuah negara yang mana komunisme dan sosialisme adalah pegangan utama, fahaman-fahaman agama pernah diharamkan di sini – gereja diruntuhkan dan masjid dimusnahkan – kerana pada mereka, agama ibarat gula-gula yang melalaikan.
Sempat meninjau sekitar Vladivostok dan merakamkan kenangan di depan Gereja Besar kota ini.
Hanya sekarang ini Rusia membuka pintunya sedikit demi sedikit untuk membenarkan fahaman agama, termasuk agama Islam, untuk bertapak kembali. Antara soalan-soalan yang dilontarkan termasuk maksud ‘Islam’ itu sendiri, pemotongan tangan di dalam hukum hudud (mereka ingin mendapatkan pemahaman yang sebenar kerana apa yang mereka faham mengenai hudud adalah menerusi filem-filem Barat), serta masalah orang-orang Islam di Timur Tengah.
Penulis juga berasa takjub dengan pengetahuan mereka mengenai Kuala Lumpur dan Malaysia. Paling mereka kenali ialah Menara Berkembar Petronas sebagai mercu tanda negara.
Mereka turut bertanyakan nasib kehilangan pesawat MAS, MH370 dan malapetaka yang menimpa MH 17.
Sejurus selepas mengajar di kelas tersebut, penulis telah dijemput untuk menyampaikan kuliah akademik bertajuk ‘The Law of the Sea Convention (LOSC) and Its Implication on Southeast Asia’ selama sejam.
Gambar berkumpulan dengan para pelajar Sekolah Undang-undang, FEFU - di sebelah saya berbaju hitam ialah rakan saya Dr. Roman Dremliuga
Kuliah ini dihadiri oleh para pelajar FEFU dan para profesor dan ahli akademik Sekolah Undang-undang, FEFU. Kuliah ini berkongsi mengenai kesan penerimaan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 terhadap negara-negara Asia Tenggara dari segi pembahagian sempadan maritim di Laut China Selatan, keselamatan maritim serta hak navigasi kapal-kapal asing merentasi rantau tersebut.
Memandangkan Rusia mempunyai armada kapal yang besar, tumpuan perbincangan adalah lebih terhadap sub-topik yang ketiga iaitu hak navigasi.
PENGALAMAN DI RUSIA
Pada hari kedua, Jumaat, 12 Disember 2014, penulis telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat Sekolah Undang-undang FEFU, bersama Timbalan Dekan, Dr Natalia Prisekina dan orang nombor satu, iaitu Dekan, Professor Vladimir Kurilov.
Pada asalnya, Professor Kurilov tidak mempercayai bahawa sayalah orang yang dijemput itu kerana beliau menyangkakan bahawa orang tersebut tentulah sudah berusia. Namun, usia tidak patut menjadi isu atau halangan. Bertubi-tubi soalan ditanya oleh Profesor Kurilov kepada penulis mengenai sistem perundangan Malaysia, amalan guaman di Malaysia, pendidikan guaman di Malaysia serta pengajaran undang-undang Syariah di USIM.
Beliau amat tertarik dengan undang-undang Syariah yang diajarkan di USIM dan mempertimbangkan untuk memperkenalkannya bagi mewujudkan kelainan di antara Sekolah Undang-undang FEFU dengan fakulti undang-undang di universiti-universiti lain di Rusia.
Pada mesyuarat tersebut juga penulis cuba menjelaskan mengenai sistem perundangan Malaysia yang bertunjangkan undang-undang common law tinggalan British serta undang-undang Islam, yang terpakai dikalangan orang-orang Islam di Malaysia. Mesyuarat tersebut telah berjaya menjadi medan perkongsian maklumat di antara sebuah universiti Rusia, FEFU dan universiti Malaysia, USIM.
KOTA VLADIVOSTOK
Memandangkan hari ketiga dan hari keempat adalah hari cuti hujung minggu, penulis mengambil kesempatan ini untuk bersiar-siar di sekeliling Vladivostok. Dr Roman Dremliuga membawa penulis untuk melihat sendiri keindahan kota terbesar Rusia di Asia Timur ini.
Penulis mengabadikan memori di Dataran Tengah, Vladivostok.
Tarikan utama Vladivostok adalah Jambatan Golden Horn, jambatan besar yang merentangi Teluk Zolotoy Rog yang memisahkan kota Vladivostok kepada dua bahagian. Penulis juga dibawa berkunjung ke Muzium Kapal Selam, Gereja Besar Vladivostok, Tugu Tzar, Dataran Tengah (Central Square) di pusat bandar Vladivostok serta Dataran Pohon Persahabatan, terletak tidak jauh dari Muzium Kapal Selam.
Terdapat enam pohon di situ, setiap pohon mewakili hubungan persahabatan Rusia dengan negara lain dan pohon-pohon tersebut dinamakan bersempena nama kapal perang negara-negara yang berkaitan. Sebagai rakyat Malaysia, penulis berasa bangga apabila melihat nama Malaysia mekar di sini apabila salah satu pohon persahabatan itu dinamakan 'KD Kedah', bukti pengiktirafan Rusia terhadap hubungan negara tersebut dengan Malaysia terutama dari segi hubungan ketenteraan.
Pohon persahabatan - KD Kedah
Salji masih memutih meliputi keseluruhan Vladivostok dan ini menambahkan keindahan kota ini ibarat sebuah kota khayalan seperti yang sering digambarkan di dalam kartun terbitan Walt Disney. Akan tetapi, disebabkan suhu Vladivostok yang berada di bawah -15 darjah Celcius telah menghadkan pergerakan kami.
SELAMAT TINGGAL VLADIVOSTOK
Pada tanggal 15 Disember 2014, penulis membentangkan kertas kerja bertajuk ‘The Legal Status of the Straits of Malacca and Singapore: Balancing Shipping and Marine Environmental Protection’ bagi melengkapkan tugasan penulis sebagai profesor pelawat di sini, sekaligus menamatkan lawatan rangka kerja lapan hari di FEFU.
Kertas kerja ini menarik perhatian ahli-ahli akademik dan pelajar-pelajar di sini apabila penulis membandingkan kepentingan Selat Melaka dengan Laluan Artik Utara, laluan perkapalan yang penting untuk Rusia. Persoalan demi persoalan dikemukakan berkaitan status pelayaran bebas di selat menurut kehendak undang-undang laut antarabangsa.
Pada malam terakhir di Vladivostok, penulis telah dijamu dengan sajian makanan Rusia seperti hidangan (sup kobis), Okroshka (sup sejuk berasaskan susu) dan makanan berasaskan sayuran.
Warga FEFU sepertimana warga Rusia yang lain sangat peramah dan ini menjadikan pengembaraan di sini satu kenangan indah yang sukar dilupakan.
Dan segala yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga perkhidmatan penulis sebagai profesor pelawat di FEFU. Penulis bertolak pulang ke Malaysia pada tanggal 16 Disember 2014 ditemani ribut salji dengan suhu serendah -25 darjah Celcius yang hampir menyebabkan penerbangan ke Incheon, tergendala.
Namun, akhirnya ribut reda dan segalanya berjalan lancar. Pesawat Aurora Airways meninggalkan bumi Vladivostok pada tepat jam 9 pagi menuju ke selatan iaitu Incheon. Setelah berhenti selama enam jam di Incheon, penulis menukar penerbangan ke KLIA dan tiba di tanah air pada awal pagi 17 Disember.
Tugasan sebagai profesor pelawat di FEFU dan kunjungan ke kota Vladivostok akan sentiasa kekal sebagai kenang-kenangan indah dan ini semestinya bukan pengakhiran kepada hubungan di antara dua institusi iaitu USIM dan FEFU demi kemajuan pendidikan bagi kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Rusia.
> Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.