suria

K-Pop: Remaja Perlu Tampil Beri Penjelasan - Puteri Umno

PETALING JAYA: Pergerakan Puteri Umno meminta remaja yang terbabit dalam kontroversi aksi sumbang di konsert kumpulan K-Pop, B1AF Sabtu lalu supaya tampil memberi penjelasan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) supaya tidak terus dipandang serong oleh masyarakat.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, adalah tidak adil sekiranya mahu menghukum seratus peratus terhadap remaja berkenaan.

Katanya, jika dilihat menerusi video aksi tersebut yang kini menjadi viral, ia merupakan tindak balas yang tidak disengajakan kepada ahli kumpulan itu.

“Jadi saya minta mereka yang terlibat untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak berkaitan (Jawi) supaya memperjelaskan keadaan yang berlaku di samping membantu siasatan mereka berhubung kes ini.

“Puteri Umno bersimpati dengan keadaan peminat tersebut. Kita bersedia untuk bertemu dengan mereka dan memberikan khidmat kaunseling atau apa sahaja bagi membantu menyelesaikan isu ini sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert di Kuala Lumpur, Sabtu lalu mencetuskan kontroversi sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.

Jawi pada Isnin lalu telah membuka kertas siasatan berhubung kontroversi itu dan meminta pihak yang terlibat tampil untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.

Mengenai video aksi berkenaan kini menjadi viral, Mas Ermieyati berkata, dunia sekarang dipenuhi media sosial apabila setiap perkara boleh tersebar dengan mudah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat terutama generasi muda perlu berhati-hati dan menyedari kesan daripada setiap perbuatan itu.

“Memanglah artis K-Pop kini menjadi pujaan ramai terutama di kalangan remaja dan pelajar. Kita semua pernah menjadi remaja, saya sendiri juga dahulu pernah meminati kumpulan New Kids On The Block, rasa teruja terhadap artis kesayangan.

“Tetapi sebagai remaja, kita perlu tahu jaga tatasusila sebagai umat Islam, orang Melayu dan rakyat Malaysia. Kita juga kena sensitif terhadap pandangan masyarakat. Jadi kita perlu tahu nilai-nilai diri bagi menghormati sensitiviti itu,” katanya.

Artikel Lain