PETALING JAYA: Longgokan sampah pascabanjir di semua negeri yang dilanda musibah itu termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dianggarkan mencecah 200,000 tan boleh diumpamakan dengan muatan lebih 20 pesawat jumbo. Malahan, jumlah yang dicatatkan itu juga lebih enam kali ganda berbanding kadar kutipan sampah domestik seluruh negara pada setiap hari biasa iaitu hanya 33,000 tan. Memberi contoh kutipan sampah di Pahang yang berjumlah lebih 20,000 tan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, padat muatan dua pesawat jumbo dengan kadar sisa pepejal yang dikumpul di negeri berkenaan sahaja. "Pesawat jumbo yang mampu menampung kira-kira 9,000 tan muatan itu boleh memberi perbandingan mudah untuk masyarakat lebih faham mengenai longgokan sampah yang terkumpul pasca banjir. "Jika di Pahang di mana kerja-kerja pembersihan hampir selesai sudah mengumpul lebih 20,000 tan dengan majoritinya di Temerloh, bayangkan keadaan di negeri yang lebih teruk seperti Kelantan dan Terengganu," katanya dalam pertemuan dengan mStar Online. Ab Rahim (kanan) ketika membuat tinjauan kerja-kerja pembersihan sampah dan sisa pepejal di kampung-kampung di daerah temerloh baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai operasi pembersihan yang dijalankan, Ab Rahim lega dan bersyukur kerana setakat ini pihaknya tidak berdepan kesukaran atau masalah besar untuk menguruskannya. "Angka di Pahang lebih kecil jika dibandingkan dengan jumlah sampah di Kelantan dan Terengganu atau 200,000 tan sampah yang dikutip di semua negeri dilanda banjir," katanya merujuk angka yang diberikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan. Mengenai kerja-kerja pembersihan di Pahang, Temerloh yang menjadi daerah paling teruk dilanda banjir adalah kawasan paling berselerak, ditimbuni pelbagai jenis sampah dan sisa pepejal selepas banjir surut. Selain Temerloh, daerah lain di Pahang yang turut dilanda bencana sama ialah Kuantan, Pekan, Maran, Jerantut, Lipis, Rompin dan Bera. Ab Rahim berkata, sehingga kini hanya daerah Pekan yang masih belum menjalani kerja-kerja pembersihan sepenuhnya kerana masih terdapat kawasan di mana banjirnya belum surut. Keseluruhannya, operasi pembersihan dan pelupusan diserahkan kepada syarikat konsesi Alam Flora Sdn Bhd dan sub-kontraktornya, melibatkan 140 pekerja bertugas setiap hari. Aset yang digunakan termasuklah 'water jet' untuk membersihkan lumpur, lori pemungut sampah terbuka (open tipper), jentolak (backhoe), tong sampah Roro dan lori sampah Compactor. Katanya, kos pembersihan dan pelupusan adalah RM265 untuk satu tan sampah, menjadikan kos keseluruhan untuk kerja-kerja pengurusan pada kali ini berjumlah lebih kurang RM5.3 juta. Dari aspek pelupusan, beliau berkata, sampah yang dikutip di Temerloh tidak dapat dihantar terus ke tapak pelupusan kekal di Kampung Chuat, Bera, kerana masalah jarak, masa dan kos. Justeru, sampah-sampah tersebut ditempatkan di tiga tapak pelupusan sementara sebelum diangkut dengan lori secara berperingkat ke tapak pelupusan kekal untuk diasingkan sebelum dilupuskan secara terawat. "Kita terpaksa angkut sikit-sikit. Kita jangka hujung bulan ini semua sampah dapat dibawa ke tapak pelupusan kekal," katanya sambil menjelaskan sebuah lori hanya mampu mengangkut sampah seberat tiga tan. Jentolak digunakan untuk membantu melakukan pembersihan. Mengulas lanjut mengenai sampah dan sisa pepejal yang dipungut, beliau berkata ia 'hadir secara berfasa'. "Sebaik banjir surut, sampah-sampahnya semua yang bersaiz besar seperti perabot, tilam, sofa, termasuklah pokok-pokok tumbang. "Fasa kedua sampahnya lebih kecil seperti buku-buku, pakaian dan peralatan rumah seperti pinggan mangkuk," katanya. Beliau mengandaikan akan ada 'gelombang' ketiga dan yang terakhir sampah pasca banjir dan pihaknya telah bersedia untuk itu. Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai, parit atau longkang bagi mengelakkan timbulnya masalah air tersekat dan kerumitan lain.