suria

Bina Semula Kehidupan Selepas Banjir

Mangsa banjir, Amran Ramli mula mengecat gerainya yang rosak teruk dalam banjir besar yang melanda daerah, Temerloh, sejak Disember lalu.

TEMERLOH: Dalam usaha membina semula kehidupannya selepas banjir besar yang melanda negeri Pahang, mangsa banjir, Amran Ramli memulakan langkah pertama dengan mengecat semula gerai makan miliknya. 

Banjir yang melanda pada 25 Disember lalu telah menyebabkan kemusnahan teruk kepada rumahnya, barangan keperluan memasak yang terdapat di gerai yang merupakan satu-satunya sumber rezeki yang menampung kehidupan dia bersama isteri serta empat orang anak mereka. 

Nyata kehidupan mereka selepas banjir surut cukup perit, bagi lelaki berusia 55 tahun ini namun pembaca yang tersentuh dengan kisah Amran yang dipaparkan dalam The Star, di bawah artikel 'Put of Muddy Waters' mula menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini. 

Rakyat Malaysia yang prihatin turut menghulurkan sumbangan wang ringgit, malah ada juga yang membelikan pakaian seragam sekolah untuk anak Amran. 

Nyata dia sangat terharu apabila ada yang bermurah hari sanggup membelikan barangan keperluan untuk dia membaik pulih gerainya. 

Sebahagian daripada gerainnya hampir tenggelam dan rosak teruk akibat banjir bekenaan. 

Pada Isnin, Amran mula membawa papan lapis untuk membaiki sedikit demi sedikit gerainya yang rosak. Semalam, pula dia membawa bekas cat untuk mula mengecat kembali gerai tersebut. 

"Banyak lagi barang yang perlu saya beli sebelum kembali berniaga, namun saya bersyukur sedikit sebanyak persiapan untuk membaik pulih telah berjalan," kata Amran. 

Dia turut berharap agar dapat membuat pinjaman daripada Mara dan Tekun untuk membeli semula barangan keperluan yang telah rosak. 

Amran juga telah mendaftar sebagai penerima bantuan banjir daripada pihak berkuasa dan kini dia menantikan bantuan yang akan diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat. 

Disebalik kepayahan yang dihadapinya, ternyata Amran berjaya bangkit semula dengan semangat untuk meneruskan perjuangan mencari nafkah untuk keluarganya. 

"Cabaran paling sukar apabila banjir surut, banyak perkara yang perlu diuruskan, saya berharap mulai hari ini urusan kami akan dipermudahkan," katanya. 


mangsa banjir, Amran Ramli

Artikel Lain