suria

Papagomo Diperintah Bayar Ganti Rugi Kepada Peguam

Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) diperintah bayar ganti rugi atas dakwaan menerbitkan artikel berbaur fitnah.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, Khamis memerintahkan seorang blogger membayar ganti rugi kepada seorang peguam bersabit dengan penyiaran artikel-artikel yang berbaur fitnah.

Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mendapati bahawa ketiga-tiga artikel yang dimuatkan dalam laman web www.papagomo.blogspot.com merupakan fitnah terhadap Datuk Sukri Mohamed.

Mahkamah membenarkan rayuan Sukri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak samannya terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris, 31.

Hakim Abdul Aziz, yang mempengerusikan panel itu memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di Kota Baharu di Kelantan untuk taksiran ganti rugi.

Dalam keputusannya, Hakim Abdul Aziz berkata Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan keterangan saksi-saksi yang mengenal pasti Wan Muhammad Azri sebagai blogger papagomo.
 
Beliau berkata Mahkamah Tinggi hanya mempertimbangkan seorang saksi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberi keterangan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi bahawa SKMM tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai pemilik papagomo.blogspot.com blog.

Hakim Abdul Aziz berkata mahkamah (Mahkamah Rayuan) mendapati bahawa keterangan tiga orang saksi sudah cukup untuk mengenal pasti Wan Muhammad Azri sebagai blogger papagomo.

Beliau juga memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM20,000 kepada Sukri bagi prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sukri, 51, yang juga anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan dan bekas anggota Majlis Perajaan Negeri Kelantan menyaman Wan Muhammad Azri kerana menerbitkan ketiga-tiga artikel dalam laman web papagomo.blogsport.com pada 2011 yang didakwa memfitnahnya.

Wan Muhammad Azri, dalam pernyataan bela diri yang dipinda, menafikan yang dia adalah blogger papagomo dan pemilik blog itu. Dia juga mendakwa bahawa penerbitan artikel itu bersifat mempertahankan justifikasi, ulasan yang adil dan berupa perlindungan bersyarat.

Sukri diwakili oleh peguam Hisham Fauzi sementara Wan Muhammad Azri mewakili dirinya sendiri.

papagomo, artikel fitnah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain