suria

Eric Paulsen, Jakim Ditawar Debat Di TV - Ahmad Shabery

Eric Paulsen (hadapan) keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini selepas tamat tahanan reman, Khamis.

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuka peluang kepada Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen untuk berdebat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di televisyen berhubung kenyataannya di Twitter mendakwa jabatan itu mempromosi ekstremisme.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap ruang itu perlu kerana Paulsen bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu supaya masyarakat lebih jelas dan dapat membuat penilaian.

"Eric perlu jelaskan kepada orang ramai mengenai kenyataannya di Twitter yang begitu pendek,  tak semestinya dalam  TV tapi kalau ada stesen yang ingin benarkannya.

"Saya rasa tak ada masalah dan setuju kalau Jakim kata "Ok kita berbahas" dan minta Eric datang ke stesen TV, beritahu apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya bahawa Jakim menggalakkan keganasan melalui khutbah setiap Jumaat," katanya pada sidang media selepas melancarkan identiti jenama baharu Pos Malaysia di sini, Khamis.

Ahmad Shabery berkata, beliau terbuka sekiranya terdapat mana-mana stesen televisyen yang mahu menyiarkan perbahasan tersebut secara langsung, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) , asalkan ia dipersetujui Paulsen, Jakim dan stesen TV itu sendiri.

"Tak ada masalah secara 'live', Parlimen pun kita benarkan 'live'.

"Saya minta Jakim pun ada sama, kalau Jakim setuju saya rasa tak ada masalah.

"Dalam konsep kebebasan bersuara saya kira tak jadi masalah jika pihak stesen TV atau RTM merasakan perlu diberikan platform untuk penjelasan dan membenarkan Eric menerangkan apakah yang dikatakan ekstremisme oleh Jakim pada setiap hari jumaat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kenyataan Paulsen itu jelas tidak disenangi ramai, khususnya oleh umat Islam yang berpandangan Jakim bersederhana dalam khutbahnya dan dianggap jabatan kerajaan yang paling menetang fahaman ektremisme.

"Tiba-tiba Eric kata Jakim yang ekstrim, dia perlu jelaskan, bukan keluarkan satu kenyataan, orang marah dan sebagainya, dia diam saja.

"Penyokongnya jangan marah polis, sebaliknya marah Eric kerana dia bertanggungjawab menjelaskan, bukan dengan hanya satu kenyataan yang mengundang kemarahan orang ramai dan dia seronok orang marah," katanya.

Paulsen menerusi catatan di laman Twitter pada Jumaat lepas: "Jakim sedang menggalakkan ekstremisme pada setiap Jumaat dan kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia".

Paulsen ditahan oleh polis di Brickfields pada Isnin, dilepaskan selepas ditahan reman dua hari.

Kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Artikel Lain