SHAH ALAM: Kekosongan jawatan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berkemungkinan tidak diisi Barisan Nasional (BN) memberi ruang untuk kepimpinan negeri itu membidas parti politik berkenaan. Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan BN negeri itu enggan menamakan mana-mana wakil rakyatnya untuk jawatan berkenaan sebagai menafikan hak dan tanggungjawab untuk membangunkan Selangor. Malah, kata Menteri Besar Selangor itu, tindakan tersebut turut membuktikan kegagalan BN untuk bersama-sama membangunkan prinsip demokrasi kerana kerajaan negeri itu mengiktiraf peranan pembangkang. "Mengapa mereka ambil sikap untuk menidakkan hak mereka bersama-sama dalam membangunkan Selangor? Itu terpulang kepada mereka," katanya. Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias menerusi mStar Online yang membayangkan BN dan Umno tidak berminat untuk mengisi kedudukan tersebut selepas jawatan tersebut dikosongkan bulan lalu. Menurut Azmin, BN Selangor seharusnya mengetepikan soal kepartian dan melantik mana-mana wakil rakyatnya untuk mengisi jawatan tersebut demi kepentingan rakyat. "Mereka pun memainkan peranan dalam DUN kerana ini untuk kepentingan rakyat bukan parti," katanya. Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong melepaskan jawatan ketua pembangkang berkuatkuasa serta merta pada 8 Disember lalu. Ini berikutan keengganannya menerima pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor sebagaimana menurut peraturan tetap DUN Selangor yang baharu dipinda. Mengulas lanjut mengenai isu itu, Shamsuddin bagaimanapun berkata, keputusan mengenai kekosongan jawatan masih belum dimuktamadkan. Sehingga kini Umno Selangor masih belum mengadakan perbincangan khusus berhubung perkara itu. Persidangan DUN Selangor bagi penggal 2015 dijangka bermula pada awal Mac ini.