IPOH: Seorang anggota 'Geng Mamak' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk menyimpan kereta curi dan memiliki senjata berbahaya serta peralatan pecah rumah. Mohamad Yusof Abu Bakar, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan. Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa memiliki sebilah parang panjang berhulu merah di hadapan rumah No 43, Persiaran Tembok 10, Taman Sri Desa di sini pada 6.20 petang, 6 Disember tahun lepas. Mohamad Yusof didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Hakim Rihaida Rafie menetapkan 30 Januari untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar tidak menawarkan sebarang jaminan dan memaklumkan mahkamah bahawa kes tertuduh diklasifikasi sebagai boleh mengganggu-gugat keselamatan negara. Di Mahkamah Majistret, Mohamad Yusof berdepan pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Honda Civic yang dianggarkan bernilai RM80,000 milik Mardiyana Ahmad Halili, 34. Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan. Majistret Nurul Asyifa Redzuan menetapkan 25 Februari untuk menyebut semula kes itu. Di Mahkamah Majistret berasingan, Mohamad Yusof berdepan dua pertuduhan menyimpan kereta curi; dan dua pertuduhan iaitu memiliki peralatan pecah rumah seperti kuku kambing serta pemotong besar mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan aset polis seperti gari dan vest mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967. Dia juga didakwa memiliki dua set walkie-talkie jenama Motorola tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Mohamad Yusof didakwa melakukan kesemua kesalahan di tempat, pada masa dan tarikh sama. Majistret Haslinda A. Raof menetapkan 25 Februari sebagai sebutan semula kes. Sementara itu di TAIPING, seorang lagi anggota 'Geng Mamak' iaitu Mohamad Hanifa Abu Bakar, 32, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap Roslan Abd Ghani, 47. Mengikut pertuduhan, Mohamad Hanifa yang diwakili peguam P.Ravee, merompak wang tunai RM400 dan sebuah kereta BMW 5 series milik mangsa bersama empat lagi yang masih bebas dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran hentian rehat dan rawat Taiping Utara pada 10.50 malam, 18 September 2013. Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa tidak menawarkan sebarang jaminan dan Hakim Mohd Sabri Ismail menetapkan 18 Februari sebagai sebutan semula kes.