KEMAMAN: Semua persatuan kebajikan dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang diwakili kakitangan awam, pegawai kanan dan anggota pangkat bawah bersetuju dengan pemotongan gaji masing-masing untuk membantu anggota dan pegawai yang terjejas banjir Disember lepas. Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata potongan melibatkan 126,000 anggota PDRM dari peringkat kakitangan awam sehingga Ketua Polis Negara dibuat pada kadar RM5 hingga RM100. "Kadar potongan yang kita buat ini mengikut pangkat jika Ketua Polis Negara potongan sebanyak RM100 akan dilakukan manakala bagi konstabel sebanyak RM5 dan ini pertama kali kita lakukan potongan gaji bagi membantu mereka yang ditimpa bencana," katanya. Mohamad Fuzi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa dan menyerahkan bantuan persekolahan kepada anak anggota dan pegawai yang terlibat banjir di Mesra Mall di sini pada Jumaat. Beliau berkata, hasil pemotongan itu mereka mampu mengumpul kira-kira RM931,000 untuk diagihkan secara berperingkat kepada 1,550 anggota yang terjejas banjir. Jelasnya langkah yang dilakukan ini bagi membantu bebanan yang ditanggung anggota dan pegawai mereka yang bukan sahaja rumah ditenggelami air malah ada sebahagian daripada mereka kehilangan tempat tinggal akibat bah yang melanda baru-baru ini. Pada majlis di Mesra Mall pada Jumaat, 179 anak-anak anggota PDRM yang menjadi mangsa banjir di negeri ini menerima sumbangan barangan persekolahan yang bernilai kira-kira RM26,060.