BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas empat kontena mengandungi minuman keras bernilai RM2.3 juta termasuk cukai yang cuba diseludup ke negara ini di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini Selasa lepas. Pengarahnya Datuk Zulkifli Yahya berkata, empat kontena yang membawa pelbagai minuman keras itu diisytihar sebagai bata konkrit dari China. "Setelah diperiksa, kami dapati tiga kontena mengandungi minuman keras jenama Walton Beer, Harboe Extra dan Cruise Beer manakala sebuah lagi kontena berisi minuman keras jenama Hunting Lodge Blended Scotch Whisky. "Semua minuman keras itu bernilai RM537,768 dan membabitkan cukai sebanyak RM1,748,327.40," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat. Beliau berkata susulan rampasan hasil pemeriksaan pada 10.40 malam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan ejen penghantaran bagi membantu siasatan. Zulkifli berkata, kontena yang membawa semua minuman keras itu transit di Pulau Pinang sebelum dibawa ke satu alamat di Shah Alam, Selangor. "Dipercayai minuman keras berkenaan ditempah oleh sebuah syarikat untuk kelab-kelab malam di sekitar negeri itu," katanya. Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari cuba mengelak dengan fraudan apa-apa duti Kastam atau percubaan mengelakkan apa-apa larangan import. Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan agar menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Kastam Pulau Pinang di talian 04-3318920.