suria

Klasifikasi Baharu Bumiputera Sarawak Dalam Borang Kerajaan

Kepelbagaian etnik di Sarawak.
BINTULU: Kerajaan telah memutuskan untuk mengklasifikasi status bumiputera di Sarawak meliputi tiga kaum majoriti utama - Iban, Bidayuh dan Orang Ulu - di negeri ini di dalam borang-borang kerajaan berkuatkuasa serta-merta. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini. 

"Perkara ini dipersetujui oleh kerajaan negeri Sarawak," katanya semasa sesi dialog dengan Persatuan Peladang Kelapa Sawit Dayak di sini, Sabtu.

Di Kapit, Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem berkata, masyarakat Sarawak mempunyai identiti dan budaya mereka sendiri serta tidak harus dilihat sebagai 'lain-lain kaum' di negara ini. 

"Kita bukan 'lain-lain' tetapi kita adalah orang," katanya. 

Menurut beliau, hasil usaha menteri-menteri dari Sarawak seperti Datuk Seri Douglas Uggah dan Datuk Joseph Entulu Belaun, masyarakat pribumi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu tidak lagi digelar 'lain-lain' dalam ruangan kaum borang rasmi kerajaan. 

"Sekarang kita boleh menulis Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh, Bumiputera Melanau, dan Bumiputera Orang Ulu dalam ruangan kaum itu," katanya. 

Ketua Menteri membuat pengumuman itu semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit.

bumiputera, Sarawak

Artikel Lain