Perjumpaan yang akan melibatkan semua kakitangan kementerian itu diadakan susulan kejadian serangan ke atas seorang pekerja wanita oleh seorang pekerja penyelenggaraan lelaki di bangunan kementerian terbabit lewat petang Jumaat.
Ahmad Shabery pada Sabtu meluangkan masa melawat mangsa, Siti Maisarah Mohd Saad, 30, yang kini sedang menjalani rawatan di Hospital Putrajaya akibat kecederaan teruk di muka dan kepala akibat serangan itu.
"Kita mahu jaminan keselamatan yang lebih kukuh di masa akan datang dan prosedur operasi standard (SOP) akan dikaji semula bagi memperbaiki tahap keselamatan para pekerja di kementerian," katanya kepada media di sini, Sabtu.
Ahmad Shabery berkata serangan ganas ke atas wanita merupakan satu kejadian yang dianggap kejam terutamanya apabila kejadian berlaku di dalam bangunan pejabat.
"Pejabat sepatutnya tempat yang lebih selamat berbanding jenayah yang biasanya berlaku di jalan raya atau tempat letak kereta.
Kita berharap segala bentuk siasatan akan dibuat oleh pihak berkuasa dan mereka yang terlibat diambil tindakan sekeras-kerasnya, katanya.
Suspek yang berusia 30-an telah ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.