JOHOR BARU: Isu penutupan kaunter bagi urusan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara manual akan dibincangkan secara lebih terperinci pada mesyuarat kabinet minggu depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perbincangan itu bertujuan melihat dan mengkaji pandangan yang diutarakan sesetengah pihak termasuk Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) mengenai perkara terbabit. "Sebenarnya, ada beberapa persatuan telah tampil berjumpa dengan saya di pejabat mengenai perkara itu dan kita mahu melihat dan mengkaji pandangan-pandangan mereka...kenapa penutupan kaunter ini dilakukan secara tiba-tiba," katanya. Wee yang juga Timbalan Presiden MCA bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kerjaya dan Pasca Siswazah Johor, di sini, Sabtu. Bermula 5 Januari lepas, semua majikan tidak lagi boleh memperbaharui PLKS pekerja asing mereka secara terus dengan Jabatan Imigresen dan hanya boleh memperbaharuinya dengan menggunakan perkhidmatan sistem dalam talian MyEG. Menurut Kementerian Dalam Negeri pembaharuan PLKS secara dalam talian MyEG itu dapat memendekkan tempoh memproses permohonan kepada satu atau dua hari selain mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter Jabatan Imigresen. Melalui sistem ini, masalah majikan yang dikatakan terpaksa bergantung kepada ejen (runner) untuk membuat permohonan juga dapat diatasi.