suria

Kerajaan Guna Pendekatan '6E' Perkasa Golongan Belia - Najib

Najib Tun Razak (tengah) berkesempatan melayan golongan belia yang mahu berselfie bersama beliau selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Kali Ke-63, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan pendekatan '6E' kerajaan untuk memperkasa golongan belia di negara ini. 

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-63 di sini, Najib berkata 6E itu merujuk kepada penglibatan, pengupayaan,pendidikan, keusahawanan, pengusaha sosial dan pengalaman. 

Beliau berkata dengan memperluaskan lagi platform untuk belia menyuarakan pendapat, maklum balas yang diterima juga akan bersifat lebih komprehensif. 

"Sebab itu kita buat Parlimen Belia sebagai tambahan kepada platform MBM dan Majlis Perundingan Belia Negara. Mungkin (pada) masa depan boleh fikirkan platform lain. 

"Tidak kurang pentingnya media sosial yang secara tidak langsung membentuk satu wahana besar. Ini kita rangkumkan dengan hasrat supaya kita lebihkan lagi penglibatan sebab orang muda hari ini berbeza dengan orang muda terdahulu,"katanya. 

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Menyentuh aspek pengupayaan, Perdana Menteri berkata ia termasuk memberigolongan muda peluang dalam pelbagai kerjaya termasuk mewakili dalam parlimen,pentadbiran kerajaan dan Dewan Undangan Negeri. 

Bagi tujuan itu, Najib turut mengalu-alukan cadangan untuk meminda takrifan umur belia daripada 15 hingga 40 tahun, kepada umur 15 hingga 30 tahun yang digariskan dalam Draf Dasar Belia Malaysia.

Selain itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk menggubal kurikulum baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). 

"Melalui PLKN 2.0 nanti, belia akan diberi kemahiran disiplin dan semangat patriotisme. Apabila keluar daripada PLKN, ada nilai pasaran lebih tinggi. Berbekal jati diri yang kukuh, nilai kepimpinan yang lebih baik, saya percayakita boleh menyumbang kepada transformasi negara," katanya. 

Cadangan mengkaji semula PLKN dibuat Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2015 Oktober lepas. 

Najib menjelaskan ungkapan 'kerajaan hari ini untuk orang muda dan belia' bukan sekadar retorik politik, kerana kerajaan memang benar-benar 'mengisi' ungkapan itu dengan perhatian, pertimbangan dan bantuan yang sewajarnya untuk golongan berkenaan.

Merujuk aspek pengalaman, Najib yang juga penaung MBM berkata golongan belia perlu diberi peluang merasai pengalaman baharu dalam pelbagai bidang supaya dapat menjadi pemimpin yang berjaya di semua lapangan. 

Mengambil contoh konteks kesukarelawan, beliau berkata persatuan belia seperti MBM perlu bijak meneroka peluang untuk bergerak aktif dan menjalin kerjasama dengan persatuan belia lain di peringkat serantau mahupun antarabangsa. 

Selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini, Najib juga berharap mereka boleh menggunakan platform persatuan belia untuk menerapkan semangat Asean dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kerajaan juga bersedia memberi peruntukan tambahan kepada mana-mana persatuan belia yang bergerak aktif dan melaksanakan program yang bermanfaat kepada golongan sasaran. 

Bagi tujuan itu, katanya persatuan belia perlu memenuhi kriteria yang bakal digubal tidak lama lagi. 

"Ada penarafan, ada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan penilaian. Kalau dibuat banyak program dan bermanfaat, belanja dengan berhemah dan berintegriti, maka persatuan-persatuan patut diberi peruntukan tambahan supaya dapat menjadi badan ikonik di kalangan belia," jelasnya. 

Bagi aspek pendidikan, Najib berkata ia merupakan asas penting kepada ekonomi berasaskan pengetahuan di mana bakat-bakat belia perlu dikenal pasti dan diiktiraf supaya dapat membantu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi. 

"Saya dapat tahu baru-baru ini ada rakyat kita di Australia yang memperoleh PhD dan ditawarkan status pemastautin tetap tanpa dipohon. Sebab negara itu kenal bakat. 

"Kalau kita nak maju bukan soal siapa, soal warna kulit tetapi soal bakat,"katanya. 

Dari aspek keusahawanan, Najib berkata golongan belia juga dipersiapkan supaya mampu menjana pendapatan dan kerjaya sendiri, berbanding bekerja dengan syarikat-syarikat sedia ada.

"Ini perubahan paradigma yang perlu ada pada kita. Kalau boleh kita jana kekayaan sendiri, dan kita beri nilai yang lebih tinggi kepada negara," jelas Najib. 

Sementara dari aspek pengusaha sosial, beliau berkata keuntungan yangdijana negara disumbangkan semula kepada usahawan belia supaya mereka mampu berkembang dan melaksanakan lebih banyak aktiviti.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Bintang Belia Malaysia kepada mereka yang menyumbang bakti kepada pembangunan belia negara. 

Antara penerima ialah bekas pemimpin tertinggi MBM termasuk anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim dan anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

pendekatan 6E, Najib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain