PETALING JAYA: MyEG Services Berhad (MyEG) memberi jaminan kepada majikan pembantu rumah bahawa mereka akan mendapat banyak manfaat dengan memperbaharui permit kerja secara dalam talian. Seorang jurucakap syarikat tersebut memberitahu The Star bahawa mereka yang mengkritik polisi MyEG dan bayaran tambahan sebanyak RM38 kebanyakannya terdiri daripada agensi pembantu rumah yang menjaga kepentingan sendiri. "Mengapa agensi pembantu rumah menentang kami? Mereka melihat perkhidmatan kami sebagai merendahkan kos mereka kerana bayaran perkhidmatan sedia ada membantu majikan untuk memperbaharui permit kerja dalam lingkungan harga antara RM100 dan RM200," kata jurucakap itu. Beliau berkata majikan akan menjimatkan lebih banyak wang dengan MyEG sebagai contoh bayaran untuk memperbaharui permit pembantu rumah warga Kemboja (levi berbeza mengikut kewarganegaraan). Buat masa ini, majikan pembantu rumah warga Kemboja perlu membayar levi sebanyak RM410, RM60 untuk pas lawatan, RM125 caj pemprosesan dan RM20 untuk visa, sebagai tambahan kepada caj RM38 yang dikenakan MyEG. "Ia mencecah RM653 dan ini hanyalah bayaran yang diwajibkan," katanya. Sebaliknya, beliau berkata jumlah caj yang dikenakan oleh ejen berbeza antara RM800 dan RM1,000. "Majikan juga perlu berulang alik bertemu agensi untuk memohon pembaharuan permit dan mengutip pasport pembantu rumah mereka," kata jurucakap itu. Beliau berkata majikan yang memilih untuk membuat pembaharuan permit sendiri di kaunter Jabatan Imigresen sebelum ini membayar RM615 atau penjimatan sebanyak RM38. Bagi pembantu rumah yang dikehendaki menjalani pemeriksaan saringan kesihatan dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), beliau berkata MyEG tidak akan terlibat dalam proses itu. "Namun majikan yang mahu MyEG untuk membuat temu janji mereka dengan Fomema akan dikenakan caj RM20. Ini adalah pilihan sendiri dan bukan untuk mengaut keuntungan tetapi kami menawarkannya untuk memudahkan pengguna melakukan apa sahaja menggunakan komputer riba mereka," katanya. Jurucakap tersebut berkata dakwaan bahawa majikan hanya perlu membeli insurans daripada MyEG untuk pekerja mereka adalah tidak benar. "Sesiapa sahaja boleh melihat dalam laman web kami bahawa pembelian insurans daripada kami adalah secara sukarela atau pilihan," katanya. Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata perdebatan mengenai MyEF adalah berkisar mengenai setiap ringgit dan sen yang dikeluarkan dan bukannya bagaimana ia akan memberi kesan kepada pembantu rumah. "Mereka adalah manusia biasa tetapi tiada siapa bertanya sekiranya langkah tersebut akan meningkatkan kebajikan mereka," katanya. Raja Zulkepley menegaskan fungsi agensi pembantu rumah tidak hanya tertumpu dengan membawa mereka masuk ke negara ini. "Kami antara yang campur tangan apabila pembantu rumah dieksploitasi atau mereka tidak dibayar," katanya. Raja Zulkepley berkata MyEG dan kerajaan harus mengadakan satu dialog mengenai isu ini.