suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat

Sebanyak 25 buah rumah di Batu 5 Jalan Bintulu-Miri dinaiki air malam Ahad.
KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Sarawak meningkat dengan membabitkan seramai 3,201 orang setakat pukul 7 pagi Isnin.

Malah pasukan penyelamat menjangkakan jumlah tersebut terus meningkat dari semasa ke semasa.

Hujan berterusan sejak hujung minggu lalu menyebabkan beberapa rumah di kawasan rendah di selatan negeri itu dinaiki air.

Sejak tengah malam Ahad, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat tiga kali ganda.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebanyak 39 pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri itu pada pagi Isnin dengan 22 daripadanya di Kuching.

"Lebih 2,000 mangsa yang dipindahkan adalah dari Kuching dan kawasan sekitarnya.

"Daripada penilaian saya, saya percaya jumlah mangsa akan meningkat pada Isnin kerana hujan masih belum berhenti lagi," kata Salihin Annuar, Penolong Setiausaha MKN Sarawak.

Amaran hujan peringkat jingga yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi masih kekal di kawasan tersebut.

Salihin berkata amaran tersebut meliputi kawasan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.

Laporan awal MKN menunjukkan sembilan laluan utama ditutup dan empat kejadian tanah runtuh telah berlaku.

banjir, Sarawak

Artikel Lain