suria

Rasionalisasi Perbelanjaan Negara Terus Dipacu Untuk Kesejahteraan Rakyat

Barisan Menteri Kabinet mendengar peruntusan khas yang disampaikan Perdana Menteri di PICC, Selasa.

PUTRAJAYA: Strategi dan langkah bagi merasionalisasikan perbelanjaan negara, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilihat dapat memastikan pembangunan negara terus dipacu untuk kesejahteraan rakyat.

Strategi dan langkah proaktif itu boleh memastikan pertumbuhan dan pembangunan Malaysia dapat diteruskan berikutan perubahan dalam landskap ekonomi global.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu tidak akan membantutkan pembangunan di kawasan luar bandar.

"Pembangunan luar bandar dari segi bekalan air, perumahan rakyat, kemudahan prasarana tidak akan disentuh dari segi pengurangan perbelanjaan, cuma mungkin dari segi pengurusan kita kurangkan lawatan ke luar negara dan membeli peralatan pejabat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perutusan khas Najib mengenai perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Mohd Shafie berkata, penangguhan kenaikan kadar tarif elektrik juga dapat meringankan beban rakyat khususnya dalam kalangan usahawan kecil kerana ia boleh mengurangkan kos operasi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan mengurangkan bajet pengurusan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan semua agensi kerajaan perlu membuat tindakan susulan yang perlu.

"Kita akan cuba dalam kementerian masing-masing macam mana kita nak mengurangkan perbelanjaan pengurusan masing-masing seberapa banyak yang boleh untuk membuat penjimatan," katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula meminta rakyat supaya menyedari permasalahan negara dan membantu kerajaan untuk menanganinya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, walaupun berlaku pengurangan dalam perbelanjaan pengurusan negara, ia tidak akan memberi impak kepada pengurusan kerajaan kerana ia dimbangi dengan penekanan kepada aspek pengurusan yang cekap dan berhemah.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata apa yang penting adalah jaminan kerajaan bahawa perbelanjaan pembangunan tidak terjejas atau mengalami pengurangan.

"Sebagai contoh, Projek Lebuhraya Pan Borneo terus dilaksanakan. Ini jelas membuktikan bahawa walaupun menghadapi cabaran ekonomi, kerajaan tetap prihatin kepada kepentingan rakyat dan penyediaan infrastruktur untuk kemudahan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Artikel Lain