suria

Dua Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Pecah Amanah Lebih RM100,000

KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah syarikat jualan hartanah mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah wang syarikat membabitkan lebih RM100,000 pada 2005 hingga 2009.

Bagi semua pertuduhan, N. Ganesh, 45, dan P. Janarthiny, 37, yang ketika itu pengarah syarikat Fairview Properties Sdn Bhd, bersama-sama didakwa pecah amanah wang syarikat dengan membuat pembayaran bagi kepentingan sendiri berjumlah RM107,143.50 tanpa persetujuan lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Ambank Berhad, Menara Dion, Jalan Sultan Ismail di sini antara 27 Januari 2005 dan 11 Februari 2009.

Dakwaan di Mahkamah Sesyen itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Ganesh dan Janarthiny masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Februari untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Artikel Sebelum

Artikel Lain