suria

Malaysia Bukan Dalam Krisis - Najib

PUTRAJAYA: Malaysia bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti yang dihadapi pada 1997, 1998 serta 2009, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, strategi-strategi yang digariskan dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara yang diumumkan pada Selasa adalah langkah proaktif dan penyesuaian berikutan faktor ekonomi luaran yang di luar kawalan kerajaan.

"Kita bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej rangsangan perlu dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri perbelanjaan pembangunan berjumlah RM48.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2015, tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.

Bagaimanapun perbelanjaan mengurus dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.

Najib berkata demikian dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Najib menegaskan semua projek pembangunan, khususnya yang bersifat 'ekonomi rakyat', termasuk perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan elektrik, air dan projek-projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, projek MRT jajaran kedua, LRT3 dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, akan tetap diteruskan.

"Malah, pada Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020," katanya.

Perdana Menteri dalam ucapannya menuntut pemahaman rakyat bahawa persekitaran dan percaturan ekonomi dunia yang telah berubah, memberi impak kepada Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.

Berdasarkan perubahan itu, kata Najib, beberapa perkara pokok yang telah diunjurkan kerajaan bagi merancang kewangan dan ekonomi negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

"Dan pada masa yang sama, kita mahu memastikan pembangunan negara dan kebajikan sosioekonomi rakyat terus menjadi tumpuan utama kerajaan," katanya.

Langkah penyesuaian itu dilakukan selaras dengan paras harga asas minyak yang kini pada US$48 berbanding US$100 setong pada Oktober, justeru menjadikan Bajet 2015 tidak lagi realistik.

"Pada harga US$55 setong yang diunjurkan sekarang, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

"Jika dibuat perbandingan, antara angka-angka semakan terkini dengan Bajet 2015 yang telah dibentangkan pada Oktober lalu, sekali pun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak RM10.7 bilion melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak, namun kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak RM8.3 bilion, bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015," katanya.

Dengan mengambil kira unjuran yang disemak tersebut, Najib berkata sasaran defisit yang dikaji semula ialah pada 3.2 peratus daripada KDNK pada 2015.

"Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah dalam segala kudrat kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka, menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik demi kepentingan dan keperluan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata yang penting, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perancangan pembangunan negara, dan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah.


Artikel Lain