PETALING JAYA: Polis akan menjalankan siasatan terhadap klip video vokalis kumpulan popular 90-an yang menyanyi dalam keadaan tangannya digari. "Polis akan siasat dan ambil tindakan tegas terhadap orang yang merakam dan muat naik video Zamani nyanyi semasa bergari," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitter @PDRMsia, Khamis. Video, berkenaan dipercayai telah direkodkan tidak lama selepas Zamani ditangkap yang menunjukkan dia, dalam keadaan tangan bergari diarahkan menyanyi lagu popularnya, Gerimis Mengundang. Video itu telah tersebar di media sosial dan telah mendorong pihak polis untuk menyiasat perkara itu. Zamani, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 43, ditahan pada pagi Rabu kerana didakwa terbabit dalam penyalahgunaan dadah di rumahnya di Taman Keramat, Ampang. Dia ditangkap dengan seorang wanita berusia 32 tahun kerana didakwa memiliki plastik yang mengandungi apa yang dipercayai 1.2g heroin.