PETALING JAYA: "Angah dan along mungkin masih bercantum tanpa sumbangan Raja Abdullah (Abdulaziz)," demikian luahan rasa pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli apabila ditanya mengenai kemangkatan Raja Arab Saudi itu pada Jumaat. Sebak dengan kehilangan individu yang bertanggungjawab membiayai pembedahan mereka, kedua-dua remaja istimewa itu seakan sukar menzahirkan perasaan masing-masing saat mengetahui berita sedih itu. Muhammad (kiri) dan abangnya, Ahmad mengimbau kenangan bersama Raja Abdullah menerusi album gambar ketika mengadap baginda pada 2002 dan 2007. -ART CHEN/TheStar Walaupun tidak banyak kenangan mereka bersama dermawan itu, namun jasa baginda yang mengukir sejarah baharu untuk mereka berdua pasti akan dikenang sepanjang hayat. "Kami sedih apabila ayah beritahu Raja Abdullah mangkat. Along dan angah sangat terhutang budi kepada baginda dan kerajaan Arab Saudi," kata Ahmad ketika mengenang kembali sumbangan Raja Abdullah yang membiayai pembedahan memisahkan mereka 13 tahun lalu. Ahmad dan adiknya, Muhammad, 17, berpeluang mengadap Raja Abdullah sebanyak dua kali iaitu pada 2002 dan 2007. "Hanya doa yang dapat kami sedekahkan kepada Raja Abdullah. Setiap kali selepas solat Along akan mendoakan supaya tuhan merahmati orang-orang yang banyak menolong kami sekeluarga termasuk baginda," kata Ahmad. Raja Abdullah berkenan bersalaman dengan Ahmad ketika pasangan kembar itu menghadap baginda pada 2007. Selain itu menurut Muhammad, dia dan abangnya sudah pasti hanya terlantar dan tidak boleh meneruskan kehidupan seperti remaja lain jika tidak menjalani pembedahan memisahkan tubuh mereka. "Susahlah...tak tahu sekarang ini angah boleh berjalan atau tidak jika tidak menjalani pembedahan. Angah sangat bersyukur," katanya. Tambah Ahmad, mereka masih menyimpan kaki palsu sumbangan Raja Abdullah walaupun ia tidak boleh digunakan lagi. "Along dan angah pun dah besar, dah tak muat nak guna kaki palsu itu lagi. Tapi kami masih simpan dengan baik sebagai kenangan," katanya. Tarikh 17 September 2002 menjadi tarikh keramat apabila pasangan kembar itu yang berusia empat tahun berjaya dipisahkan. Pembedahan itu dilakukan di King Fahad National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi. Ia mengambil masa selama 22 jam 45 minit dengan diketuai oleh Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang sekarang merupakan Menteri Kesihatan negara Arab itu. Pembedahan pemisahan itu menelan belanja sebanyak RM1.7 juta.