suria

Polis Tak Bertolak Ansur Anggota Rakam Klip Video Zamani

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan segelintir warganya yang didapati mengaibkan mana-mana Orang Kena Tahan (OKT).

Pengarah JIPS Datuk Zubaidah Md Ismail dalam kenyataan berkata pasukan keselamatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya melibatkan hak asasi mana-mana OKT.

Semalam, sebuah video berdurasi satu minit 23 saat tersebar di laman sosial, yang memaparkan seorang penyanyi lelaki iaitu Zamani Ibrahim, 44, sedang menyanyikan sebuah daripada lagu popularnya dalam keadaan tangan digari ketika dalam tahanan.

Ia tersebar di Facebook yang turut mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan ia sebagai tindakan membuli dan menjatuhkan maruah penyanyi itu.

Sehubungan itu, Zubaidah berkata pihaknya sudah mengenal pasti anggota  terbabit dan tindakan tegas segera sedang dilaksanakan.

Zubaidah berkata, selain siasatan dari sudut jenayah, siasatan dalaman dari sudut tindakan tatatertib oleh pihak JIPS di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 juga turut dijalankan.

Tambah beliau, JIPS Bukit Aman sendiri akan memantau dan menyelia Kertas Siasatan Tatatertib yang dijalankan oleh JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua warga polis supaya elakkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menyalahi undang-undang, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau pun etika kerja penjawat awam.

"Saya amat kecewa dengan perbuatan segelintir anggota PDRM yang tidak beretika sehingga mencemarkan nama baik organisasi PDRM yang sepatutnya melindungi apa jua hak individu, tidak kira apa jua status OKT berkenaan," katanya.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata pihaknya telah mengenal pasti anggota polis yang terbabit merakam dan menyebarkan klip video seorang penyanyi yang sedang menyanyi dalam keadaan tangan digari ketika dalam tahanan.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota lain yang terbabit sama dalam kes berkenaan.


Artikel Lain