suria

Penyampai Radio Dakwa Anak Didera Di Pusat Asuhan

KUALA LUMPUR: Seorang penyampai radio mendakwa anak lelakinya berusia setahun lapan bulan didera di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Kelana Jaya dua hari lalu.

Menurut Nazira Noran, 35, yang bertugas dengan Bernama Radio24, suaminya Muhammad Farid Samsuddin, 41, menyedari kesan gigitan dan cakaran pada lengan tangan kanan dan kiri, belakang badan serta dahi anaknya ketika menjemputnya dari taska itu pada petang Khamis.

"Kerana tidak berpuas hati, saya telah ke taska itu untuk mendapatkan pengesahan namun penyelianya memberi alasan ia luka lama.

"Namun setelah membuat pemeriksaan di sebuah pusat rawatan swasta, doktor mengesahkan ada kesan cakaran kuku saiz orang dewasa," katanya ketika dihubungi Bernama Sabtu.

Nazira berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada Jumaat.

"Ini kali pertama kejadian ini berlaku setelah lebih setahun anak saya ditempatkan di situ," katanya.

Nazira berkata, anaknya itu kini berada dalam keadaan stabil dan buat masa ini anak bongsu daripada tiga beradik itu dijaganya sendiri susulan insiden berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain