suria

Nik Aziz: Doktor Minta Hadkan Pelawat

PETALING JAYA: Keluarga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf kepada semua pihak yang tidak mendapat 'keistimewaan' untuk melawat pemimpin berusia 84 tahun itu.

Kata anaknya, Nik Mohamad Abduh, ia adalah atas permintaan doktor supaya jumlah pelawat dikurangkan untuk memberi keselesaan kepada bapanya.

"Harapan kami sekeluarga, semua pihak tidak berkecil hati jika tidak mendapat 'keistimewaan.'

"Sihat nanti, anda semua adalah VIP kami, insya Allah," katanya menerusi catatan terbaharunya menerusi laman Facebook pada Sabtu malam.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, keadaan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan itu bertambah baik pada Sabtu dan kelihatan lebih selesa untuk berehat berbanding hari sebelumnya.

Nik Abdul Aziz, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian pada Isnin lepas kerana tahap kesihatannya merosot ketika banjir baru-baru ini, selain menghidap kanser prostat.

Mursyidul Am PAS itu mengetuai pentadbiran Kelantan dari 1990 hingga 2013.

Artikel Lain