KUALA TERENGGANU: Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja, 86, mangkat di sebuah pusat perubatan di ibu negara pukul 3.26 petang, Sabtu. Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda berkata, berikutan kemangkatan itu, Terengganu akan berkabung selama 40 hari dan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sehingga 4 Mac. "Jenazah almarhum dijangka tiba di Kuala Terengganu pukul 10 pagi esok dan akan dibawa ke Istana Maziah sebelum dibawa ke Masjid Abidin untuk solat jenazah serta dikebumikan di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin selepas solat zuhur," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Beliau berkata, waktu untuk pembesar negara dan negeri serta tetamu kenamaan memberi penghormatan terakhir dijangka bermula 12 tengah hari esok sehingga pukul 1 tengah hari di Istana Maziah, manakala untuk rakyat jelata yang ingin memberi penghormatan terakhir adalah dari 11 pagi hingga 12 tengah hari. Menurutnya, Sultan Terengganu ,Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari luar negara. Tengku Intan Zaharah bersama Tuanku Ismail Nasiruddin dan Sultan Idris Shah. Tengku Ampuan Intan Zaharah berkahwin dengan Seri Paduka Tuanku Ismail Nasiruddin pada 3 April 1944 dan dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949. Baginda menjadi Permaisuri Agong dari 1965 sehingga 1970 dan pernah dianugerahkan Grand Order of the Mugunghwa oleh Presiden Republik Korea pada 7 Februari 1966, selain dianugerahkan Darjah Utama Mahkota Negara pada 6 April tahun yang sama. Baginda merupakan Penaung Pertubuhan Pandu Puteri Terengganu.