TAWAU: Dua gudang menyimpan kayu di Kompleks Perindustrian Kayu-Kayan Tanjung Batu di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.12 pagi dan tiga jentera bomba bersama-sama 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. "Kami turut dibantu 15 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan empat anggota polis. "Kebakaran berjaya dikawal pada 4.40 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Punca kebakaran masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM950,000, katanya.