KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta majikan supaya tidak mengambil tindakan memberhentikan pekerja susulan pertumbuhan ekonomi yang dijangka perlahan pada tahun ini. Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata majikan sebaliknya perlu mengambil tindakan yang boleh mengurangkan kos syarikat. "Sekiranya perlu, kurangkan waktu dan hari bekerja atau hadkan kerja lebih masa," katanya kepada Bernama pada Isnin. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu program temu bual baru-baru ini berkata Malaysia tidak menghadapi kegawatan ekonomi tetapi ia hanya bergerak perlahan. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun keadaan ekonomi tidak rancak, ia tidak sampai ke tahap majikan perlu mengambil langkah mengurangkan pekerja. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata rakyat Malaysia turut dinasihatkan supaya tidak memilih atau bertukar-tukar pekerjaan berikutan pergerakan ekonomi yang perlahan. "Jangan ambil risiko dengan bertukar-tukar kerja kerana ia akan memudaratkan diri sendiri berikutan banyak syarikat dijangka akan mengalami kerugian tahun ini," katanya. Katanya pekerja perlu bekerja keras dan produktif, dan pada masa sama tidak membebankan majikan dari segi kewangan seperti tuntutan kerja lebih masa dan tuntutan lain. Beliau juga menggesa majikan mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing. "Apa yang berlaku sekarang ialah majikan gemar mengambil pekerja warga asing dengan memberi alasan mereka menerima gaji rendah berbanding pekerja tempatan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.