SHAH ALAM: Kolumnis The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai mengemukakan permohonan untuk membatal saman fitnah yang tuntut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kerana beliau (Wong) hanya membuat satu kenyataan yang jujur. Dalam permohonan tersebut, Wong yang juga pengarah urusan Kumpulan Star Publications (M) Bhd dan ketua pegawai eksekutif (CEO) berkata, kes yang dituntut oleh Ibrahim itu adalah tidak kukuh dan tidak mempunyai justifikasi. Wong, 53, berkata, saman sivil yang bertarikh 26 Disember tahun lepas harus dibatalkan kerana ia bersifat skandal, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah. Wong yang juga bekas ketua pengarang kumpulan akhbar itu berkata, saman itu juga tidak menunjukkan sebarang tindakan yang munasabah. Dalam alasan untuk menyokong permohonan pembatalannya, Wong berkata saman fitnah Ibrahim itu adalah berasaskan sebuah artikel bertajuk “A mind-boggling spin” yang diterbitkan dalam akhbar The Sunday Star pada 2 November tahun lalu. Wong menjelaskan, beliau adalah penulis artikel tersebut dan yakin apa yang dihujahkannya itu mempunyai asas yang kukuh dan teguh serta berfakta dan bukannya kata-kata fitnah. Hujung bulan lalu, Wong menerima surat tuntutan saman daripada Ibrahim berhubung artikel yang didakwa memfitnah presiden Perkasa itu. Surat tuntutan bertarikh 24 November itu mendakwa yang tulisan Wong memberi gambaran yang Ibrahim adalah seorang ekstrimis agama, tidak cerdik, memperkecilkan agama Kristian dan perlu ditahan dan dicaj di bawah Akta Hasutan. Dalam permohonan mereka pada Isnin, Star Publications dan Wong berhujah, Ibrahim adalah seorang ahli politik dengan latar belakang dan reputasi yang kontroversi.