Marwan dipercayai terbunuh bersama seorang lagi pengganas, Abdul Bassit Usman dalam satu pertempuran antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan Polis Kebangsaan Filipina (PNP) di bandar Mamasapano di Maguindanao pada Ahad.
"Kami tidak dapat mengesahkan tetapi itu laporan yang kita dapat malam tadi. Menurut laporan tersebut, mereka (PNP) berjaya membunuh Marwan," kata Gazmin yang dipetik oleh media Filipina ketika ditemui pemberita di Kem Aguinaldo pada Isnin.
Gazmin berkata, beliau dan Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar Roxas dan pegawai bertugas PNP, Timbalan Ketua Pengarah, Leonardo Espina akan berlepas ke Maguindanao dan Cotabato untuk memantau situasi dan mengesahkan laporan mengenai kematian Marwan.
"Kami akan mengesahkannya (laporan). Saya akan ke Cotabato lewat hari ini supaya saya boleh mendapatkan maklumat lebih tepat dan dapat menyebarkan kepada anda mengenainya," kata Gazmin.
Napenas bagaimanapun, melaporkan mayat Marwan ditinggalkan di kawasan tersebut berikutan tembakan dari kumpulan pemberontak masih lagi kedengaran.
Marwan adalah salah seorang pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara.Dia dipercayai terlibat dalam beberapa insiden pengeboman dan serangan pengganas di Mindanao membabitkan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan AS$5 juta (RM18 juta) yang dapat membawa kepada penangkapan Marwan.