suria

MyEG: POC Tempoh Tambah Baik Sistem Baharu - Imigresen

PUTRAJAYA: Peringkat Pembuktian Konsep (POC) bagi proses memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) merupakan tempoh yang bertepatan untuk menambah baik kecekapan sistem baharu itu.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Imigresen,  Farah Adura Hamidi berkata, tiada jangkaan  dapat dikesan terhadap sistem dalam talian itu sekiranya tidak dilaksanakannya sepenuhnya.

Berikutan itu katanya, sesi POC dilakukan supaya dapat mengenal pasti apakah masalah atau kelemahan yang berbangkit daripada sistem yang dikuat kuasakan sejak 5 Januari lalu.

"Kita perlu melangkah ke hadapan dengan melaksanakan kaedah ini dengan cara yang berkesan termasuk menggunakan sistem dalam talian, antara lain untuk memudahkan urusan majikan.

"Saya masih berharap mendapat maklum balas daripada majikan bagi membantu memperbaiki sistem tersebut supaya ia dapat digunakan dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya dalam satu temuramah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, Isnin.

Jumaat lalu, Jabatan Imigresen memutuskan untuk membuka semula kaunter berkenaan untuk sementara waktu sehingga tamat tempoh POC pada 28 Februari depan selepas mempertimbang rungutan majikan mengenai pelaksanaan sistem baharu itu yang mengenakan caj RM38 bagi setiap permohonan selain pengumuman yang dibuat 'secara mengejut', sekali gus membebankan pengguna.

Pada masa sama proses permohonan melalui sistem dalam talian MyEG tetap dibuka kepada majikan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim pada Jumaat lalu berkata, tempoh POC itu turut bertujuan untuk memberi peluang kepada majikan membiasakan diri dengan proses permohonan PLKS secara dalam talian.

Farah Adura
Farah Adura Hamidi. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR

Farah Adura memberitahu, tempoh POC itu juga bertujuan untuk menguji kecekapan sistem dalam talian itu dan penyedia perkhidmatannya.

Beliau menambah, pembukaan semula kaunter PLKS turut menyaksikan majikan masih mengadu tentang kesesakan dan terpaksa beratur panjang dan nombor giliran yang dihadkan untuk urusan itu.

"Kita tidak boleh beri 'nombor giliran secara berterusan' kerana bila kita hendak menghentikan waktu operasi di kaunter.

"Kita mengehadkan 100 nombor giliran setiap hari. Ini kerana satu nombor bukan hanya untuk permohonan seorang pekerja tetapi mewakili seorang majikan. Dan majikan boleh membawa permohonan untuk seberapa banyak pekerja mereka," katanya sambil mendedahkan bahawa terdapat kes di mana seorang majikan pernah membuat permohonan untuk kira-kira 100 pekerja pada satu-satu masa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua majikan untuk membuat permohonan PLKS secara dalam talian sekiranya dokumen mereka lengkap sekali gus memudahkan urusan mereka tanpa perlu bersesak di kaunter atau mengambil nombor giliran.

Menurut Farah Adura, hanya kes-kes khas sahaja dibenarkan untuk majikan membuat permohonan di kaunter selepas ini.

"Terdapat enam kes yang kita kenal pasti iaitu masalah pekerja asing tinggal lebih masa, disenaraihitamkan dan pasport mereka yang perlu diperbaharui kerana tamat tempoh," katanya.

Selain itu katanya, kes khas turut meliputi masalah permohonan yang membabitkan maklumat berkaitan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), data pekerja asing yang tidak lengkap dan data pekerja asing yang tidak sepadan dengan sistem dalam rekod Imigresen.

Mengenai caj RM38 yang dipertikaikan majikan, Farah Adura menjelaskan bahawa ia merupakan caj operasi sistem untuk memproses permohonan berkenaan dan caj penghantaran 'dari pintu ke pintu' untuk serahan pelekat PLKS kepada majikan.

"Walaupun permohonan dibuat secara dalam talian melalui MyEG tetapi PLKS merupakan dokumen kawalan yang diperiksa, dipantau dan direkodkan oleh Jabatan Imigresen," katanya.


MyEG, Imigresen, Farah Adura Hamidi, PLKS

Artikel Lain