SEPANG: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas tuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS. Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 23, didakwa berbuat demikian dengan cara mengambil penerbangan pesawat Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki, untuk menjadi anggota kumpulan itu. Pelajar jurusan kejuruteraan marin itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di hadapan pintu C15, Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA di sini pada kira-kira 10.15 malam, 28 Disember lepas. Dia juga didakwa atas tuduhan pilihan iaitu cubaan memberi sokongan kepada kumpulan IS, dengan hendak memasuki Syria melalui Istanbul untuk manfaat kepada kumpulan pengganas tersebut pada tarikh, masa dan tempat yang sama. Wan Mohammad Arif yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani. Tiada pengakuan direkodkan daripada Wan Mohammad Arif, yang didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun sama kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu. Wan Muhammad Arif merupakan rakyat tempatan ke-24 yang dihadap ke mahkamah berhubung kumpulan IS. Mahkamah menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes itu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. -BERNAMA