suria

Pemuda Umno Azam Capai 700,000 Ahli

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno berazam untuk menambah jumlah ahli sayap parti itu secara besar-besaran bermula tahun ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, sejumlah 700,000 keahlian disasarkan pada tahun ini dan angka itu akan menjadi cabaran terhadap barisan pimpinan Pemuda Umno.

"Tahun ini tahun pertambahan ahli, kita akan gerakkan jentera kita di peringkat bahagian dan cawangan untuk tambah ahli secara besar-besaran.

"Kedudukan keahlian semasa Pemuda bagi tahun 2014 adalah 633,244. Kita telah letakkan sasaran 700,000 jumlah ahli Pemuda untuk tahun ini...bermakna kita kena tambah lebih dari 70,000 ahli," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno kali pertama untuk tahun ini, di sini, Isnin.

Menurut Khairy, keahlian dalam sayap parti itu perlu ditambah kerana usia ahli-ahli sedia ada sering berganjak dan mereka tidak akan lagi menjadi ahli selepas berusia 40 tahun.

Katanya, kebiasaannya, setiap tahun akan berlaku penurunan sebanyak 10 peratus disebabkan faktor usia, sekiranya tiada pertambahan ahli.

"Kita akan gerakkan jentera kita dan kemudahan 'online' supaya kita dapat melihat pertambahan ahli.

"Yang mana ahli lebih dari usia 21 tahun kita akan pastikan mereka sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menegaskan bahawa sasaran tersebut tidak bermakna Pemuda lebih mementingkan kuantiti berbanding kuantiti ahli.

Mengakui prestasi pemuda diukur dari segi kuantiti (pertambahan ahli baharu), Khairy berkata Pemuda bagaimanapun mahu melihat peningkatan seimbang dari segi dua aspek tersebut.

"Selain tarik minat golongan biasa, kita juga akan beri penekanan kepada profesional muda, mahasiswa dan pegawai-pegawai kerajaan supaya kita dapat keahlian yang bukan hanya ramai tetapi kualiti keahlian yang pelbagai.

"Setiap program kita mesti ada komponen pernambahan ahli. Kita akan buat pertandingan,  bahagian mana yang dapat tambah ahli mencecah beberapa peratus misalnya kita akan beri insentif," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keahlian secara dalam talian, beliau berkata kaedah itu hanya memudahkan  namun masih tidak dapat menggantikan usaha dan gerak kerja jentera dalam mencari ahli kumpulan sasar.

Katanya, Pemuda tetap akan turun padang dan merekrut ahli-ahli dari seperti daripada Biro Institusi Pengajian Tinggi dan Pengajian Luar untuk mendekati golongan sasar dan memastikan orang muda masih tertarik untuk bersama Umno.


Pemuda Umno, Ahli Umno

Artikel Lain