suria

88 Peratus Pekerja Malaysia Bimbang Tidak Cukup Wang Ketika Bersara

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kehidupan harian selepas persaraan adalah kebimbangan utama 88 peratus pekerja Malaysia, demikian menurut satu kajian.

Menurut laporan HSBC, 'Masa Depan Persaraan: Satu Perimbangan', 49 peratus daripada mereka berkata, pembayaran balik hutang menghalang mereka untuk membuat persediaan persaraan yang selesa.

"Kemelesetan ekonomi dunia juga menjejaskan pelan persaraan mereka di mana 36 peratus telah berhenti atau mengurangkan simpanan melalui deposit tunai, anuiti atau pelaburan; 32 peratus kurang berkemampuan menyimpan untuk persaraan dan 28 peratus mendapati diri mereka akan terjebak dengan hutang," katanya.

Laporan berkenaan berdasarkan hasil kajian dalam talian ke atas 1,000 orang dalam usia bekerja (25 dan ke atas) serta dalam persaraan oleh Ipsos Mori pada Ogos dan September 2014.

Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia, Lim Eng Seong, berkata bajet mereka semakin sukar.

"Jumlah terkecil disimpan mulai sekarang boleh mengurangkan kesan jangka panjang tempoh yang mencabar ini dan menjadikan kemungkinan persaraan lebih selesa lebih nyata," katanya pada taklimat media mengenai laporan itu di sini, Selasa.

Lim berkata, 27 peratus daripada mereka yang bakal bersara, ketika ini tidak atau tidak mempunyai hasrat untuk menyimpan untuk persaraan.

"Ini seperti mengaitkan generasi X dan Y, di mana mereka mempunyai pemikiran untuk memilikinya secara segera, bagi menikmati hidup hari ini dan memikirkannya esok.

"Saya harap generasi muda melihat ke depan mengenai persaraan dan hal-hal kesihatan dan tidak bergantung semata-mata kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana ia akan bertahan kira-kira lima tahun jika mereka mempunyai purata simpanan RM50,000, katanya.

Sebagai permulaan, kata Lim, mereka yang berusia antara 20 dan 30 tahun perlu menyimpan kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada gaji mereka setiap bulan dan meningkatkannya beransur-ansur apabila gaji bertambah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain