suria

Pemain Industri Pelancongan Sambut Baik Mansuh Surcaj Bahan Api

PEMAIN industri pelancongan menyambut baik keputusan beberapa syarikat penerbangan tempatan memansuhkan surcaj bahan api mereka.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Hamzah Rahmat berkata, langkah itu akan menggalakkan lebih ramai untuk melancong, dengan syarat syarikat penerbangan tidak menaikkan tambang mereka.

"Ini adalah bagus. Emirates telah melakukan perkara yang sama sebelum ini.

"Saya juga percaya ia sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan pelancongan domestik. Kita bersedia untuk mencapai hasrat itu," kata Hamzah.

Najib ketika mengumumkan semakan semula Bajet 2015 baru-baru ini berkata, kerajaan akan mempergiatkan promosi pelancongan domestik menerusi harga tambang domestik yang kompetitif.

Naib Presiden Matta untuk perjalanan dalam negara, Datuk Tan Kok Liang bersetuju dengan langkah itu yang merupakan petanda baik buat pelancongan.

"Saya harap MAS (Penerbangan Malaysia) akan turut mengikut langkah itu," katanya.

Pengendali agensi pengembaraan turut mengalu-alukan pemansuhan surcaj bahan api yang dilakukan oleh AirAsia, Malindo Air dan Firely, dengan menyifatkan keputusan itu akan mengembangkan industri pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif MP Travel and Tours Sdn Bhd, Joe Kok berkata, ia dapat menggalakkan lebih banyak kehadiran pelancong ke Malaysia.

Beliau menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan akan mengikut langkah tersebut bagi memastikan tambang terus kompetitif.

Pengarah Urusan Kumpulan Triways Travel Network (M) Sdn Bhd, ohd Akil Yusof berkata, keputusan syarikat penerbangan untuk memansuhkan surcaj bahan api adalah tepat pada masanya.

"Ia merupakan berita gembira untuk pengguna dan tepat pada masanya kerana harga minyak telahpun menurun agak lama," kata Akil, sambil menambah langkah itu akan memanfaatkan pengusaha agensi pengembaraan yang menggunakan penerbangan kapal terbang dalam pakej pelancongan mereka.

Pengasas dan pemilik Asian Overland Service Tours and Travel, Anthony Wong berkata, pemansuhan surcaj bahan api akan menggalakkan pelancongan.

"Ia sudah tentu membantu merangsang pelancongan," kata Wong.

Pengarah Luxury Tours (Malaysia) Sdn Bhd, Arokiadas Anthony berkata, sebarang langkah untuk menurunkan harga dalam pakej pelancongan akan membantu industri dalam persekitaran ekonomi semasa.

surcaj bahan api

Artikel Lain