suria

Penutupan Jalan Sempena Acara Larian, Perarakan Thaipusam

Persediaan sempena perayaan Thaipusam. Foto SAM THAM.THE STAR

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar bandar raya akan ditutup secara berperingkat mulai Ahad ini bagi memberi laluan acara larian 'Nike We Run KL 2015' dan perarakan berhala sempena perayaan Thaipusam.

Ketua Trafik Kuala Lumpur (KL), ACP Mohd Nadzri Hussain dalam kenyataan media pada Isnin berkata, penutupan jalan bagi acara larian itu bermula 5 pagi dan dijangka tamat pada 10 pagi.

Penutupan jalan bagi acara itu melibatkan Jalan Petaling, Jalan Maharajalela, Jalan Kinabalu, Jalan Hishamuddin, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak, Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Bulatan Cheras (pusingan U), Susur Bulatan Dewan Bahasa dan Stadium Merdeka.

Sementara itu, bagi acara perarakan sempena perayaan Thaipusam yang jatuh pada 3 Februari, penutupan jalan secara berperingkat bermula pada 1 hingga 4 Februari.

Menurut Mohd Nadzri, penutupan awal pada 1 Februari ini bermula 6 petang melibatkan jalan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee.

"Penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut pergerakan kumpulan perarakan dan hanya akan dibuka semula setelah mereka (kumpulan perarakan) melalui jalan tersebut," katanya.

Mohd Nadzri berkata, perarakan pergi pada 1 Februari bermula pada 10 malam dari Kuil Sri Maha Mariamman, di Jalan Tun H.S. Lee dan akan melalui Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak (pusingan U depan Bomba), Jalan Ipoh (Jalan Salleh), Jalan Kovil Hilir, Lorong Konvil Hulu, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves. 

Katanya, penutupan jalan untuk perarakan balik pada 4 Feb pula bermula 4 petang dari Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, seterusnya melalui Jalan Ipoh Batu 5, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Lorong Konvil Hulu, Jalan Kovil Hilir, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekir dan Kuil Sri Maha Mariamman Jalan Tun H.S Lee.

"Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan jalan raya pada hari berkenaan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain