suria

33 Lelaki Disyaki Rancang Buat Kecoh Ketika Thaipusam Ditahan

Datuk A. Thaiveegan
GEORGE TOWN: Polis menahan 33 lelaki yang disyaki merancang menimbulkan kekecohan semasa perayaan Thaipusam di Pulau Pinang dalam satu operasi khas Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata mereka yang berusia antara 17 dan 28 tahun itu ditahan di pusat-pusat hiburan sekitar pusat bandar pada pukul 2.55 pagi dan didapati turut memiliki senjata seperti kayu dan batang besi.

"Selain dari Pulau Pinang, ada yang datang dari Kedah, Johor, Perak dan Negeri Sembilan. Ada yang datang bercuti, ada juga yang memang bekerja di sini," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata hasil risikan selama sebulan mendapati kumpulan itu baru sahaja dibentuk dan polis sedang menyiasat sama ada mereka mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap di negeri ini.

Beberapa orang daripada yang ditahan itu mempunyai rekod lampau atas kesalahan menimbulkan rusuhan dan ugutan berunsur jenayah serta tersenarai dalam orang yang dikehendaki polis, katanya.

Thaiveegan berkata semasa ditahan sebilangan kecil daripada mereka juga dikesan berada di bawah pengaruh dadah jenis ketamin.

"Dengan penangkapan itu, kami percaya dapat mengelak masalah berkaitan rusuhan yang dikhuatiri berlaku sepanjang sambutan berlangsung," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,000 anggota akan bertugas selama 24 jam bagi menjaga keselamatan orang ramai sempena tiga hari perayaan Thaipusam bermula 2 Februari ini.

Polis menjangka lebih sejuta penganut agama Hindu serta pelancong asing dan tempatan membanjiri kawasan sambutan antaranya di Jalan Kebun Bunga, Jalan Air Terjun, Taman Botani dan Jalan Gottlieb, katanya.

Datuk A. Thaiveegan, Thaipusam

Artikel Sebelum

Artikel Lain