SINGAPURA: Tiga pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian peringkat pasca ijazah di New Zealand dan mengalami gaya hidup unik di negara itu melalui biasiswa New Zealand-Asean Scholar Awards (NZAS). Amirah Abdul Razak, Sri Themudu Bully Baboo dan How Sin Meun akan berlepas ke New Zealand beberapa bulan lagi untuk mengikuti program pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Massey University, University of Otago dan Lincoln University. Amirah akan mengikuti program Ijazah Sarjana Pengurusan, Baboo dalam program Ijazah Sarjana Keusahawanan dan How dalam program Ijazah Perancangan (dengan fokus kepada perancangan alam sekitar). Melalui pengajian peringkat pasca ijazah ini, NZAS berharap dapat memperkasakan individu di Asia Tenggara dengan ilmu, kemahiran dan kelayakan bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik di negara masing-masing. Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia Dr John Subritzky berkata: Sejak sekian lama, pendidikan menjadi sebahagian penting daripada hubungan antara New Zealand dan Malaysia, di samping memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan kami dengan Asean. "NZAS merupakan satu aspek daripada hubungan kerjasama kami di rantau ini. Melalui NZAS dan pengalaman pembelajaran mereka di New Zealand, kami harap pemegang biasiswa dari Malaysia akan memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia serta membawa perubahan positif kepada negara mereka. "Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka dalam pengajian masing-masing kelak," kata Dr Subritzky dalam kenyataan di sini, Selasa. Amirah berkata: Saya berasa sungguh bertuah kerana mendapat biasiswa NZ Asean. Biasiswa ini memberi peluang kepada seseorang yang ingin mengejar ilmu dan pengalaman baharu dari New Zealand untuk dimanfaatkan kepada negara. NZAS dibiayai Program Bantuan New Zealand, program bantuan dan pembangunan antarabangsa Kerajaan New Zealand. Ia diurus Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand.