suria

Pekerja Kontrak PLKN Tak Diabai - KP JLKN

PETALING JAYA: Lebih 3,000 kakitangan kontrak yang bertugas khusus untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diserap ke Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sepanjang tempoh penangguhannya, kata Datuk Mohamed Asri Yusof.

Ketua Pengarah JLKN itu berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa nasib semua pekerja kontrak khususnya di kalangan jurulatih tidak akan diabaikan.

"Kita akan serapkan sebahagian daripada mereka ke unit-unit di bawah JLKN.

"Malah ada sebahagian lagi akan mengikuti kursus tertentu bagi memantapkan kemahiran sedia ada. Namun jumlah yang terlibat hanya akan diketahui selepas selesai makmal PLKN yang akan bermula bulan depan," katanya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut Mohmed Asri berkata, makmal yang akan diwujudkan untuk membincangkan transformasi PLKN bermula 23 Februari depan bakal menentukan nasib keseluruhan pihak berkepentingan seperti jurulatih, operator kem, wakil ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Tak timbul isu akan hilang pekerjaan mahupun ada kakitangan yang makan gaji buta. Masing-masing ada peranan dalam tempoh penangguhan ini," katanya sambil menambah makmal PLKN itu akan berlangsung selama enam minggu dan berakhir pada penghujung Mac depan.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap tempoh penangguhan PLKN dapat dipendekkan bagi memastikan program itu dapat kembali beroperasi segera.

Sehubungan itu Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, semua kakitangan PLKN termasuk yang berstatus kontrak perlu yakin dengan jaminan kerajaan terhadap nasib mereka.

"Jangan percaya khabar angin kononnya ada yang akan dibuang kerja. Tak semudah itu kerajaan nak ambil tindakan yang tidak menguntungkan kakitangan PLKN," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penangguhan PLKN tahun 2015 dengan penjimatan RM400 juta, bagi membolehkan program itu dikaji semula dan ditambah baik.

Dalam satu perutusan khas mengenai perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan ekonomi negara, Najib berkata, ia merupakan salah satu langkah untuk merasionalisasi perbelanjaan negara.

Mohmed Asri Yusof, PLKN, JLKN

Artikel Lain