suria

PBB Perlu Jadikan Laporan Risiko Ruang Udara Di Zon Konflik Mandatori

Datuk Azharuddin Abdul Rahman
MONTREAL: Malaysia yang berdepan dua bencana udara melibatkan dua pesawat komersial tahun lalu, pada Isnin berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hendaklah menjadikan laporan risiko ruang udara di zon konflik kepada syarikat penerbangan sebagai mandatori.


Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi penerbangan PBB, berada di bawah tekanan untuk memperkenalkan sistem baharu bagi melindungi pesawat daripada berdepan risiko di zon konflik selepas peswat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai lalu, membunuh 298  penumpang dan anak kapal.

ICAO telah mencadangkan ujian laman web pusat di mana negara-negara dan agensi-agensi boleh menerbitkan amaran awam mengenai zon konflik. Tetapi, cadangan itu tidak memerlukan negara-negara anggota ICAO untuk memberikan maklumat.

"Kami tidak boleh menangguh untuk melaksanakan perubahan terhadap cara penerbangan komersil global beroperasi," kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman kepada perhimpunan ICAO di mesyuarat keselamatan peringkat tinggi di Montreal.

Beliau berkata laporan tersebut seharusnya 'wajib dan tepat pada masanya.'

Insiden MH17 berlaku semasa persengketaan di antara Ukraine dan pemberontak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

Amerika Syarikat (AS) berkata, pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu dari darat ke ke udara oleh pemberontak,  tetapi Rusia berkata pesawat tersebut telah dijatuhkan oleh tentera Ukraine.

Bulan lalu, Reuters melaporkan bahawa AS akan menyokong cadangan ICAO terhadap keselamatan penerbangan di zon konflik.

Belanda, yang kehilangan 196 rakyatnya dalam nahas tersebut pada Isnin berkata pelan ICAO ini adalah langkah pertama yang penting dan menggesa semua negara anggota ICAO menyokongnya.

"Penerbangan perlu dikaitkan dengan kebebasan dan keselamatan bukan dengan nasib, dan tiket penerbangan tidak seharusnya menjadi tiket loteri," kata  Setiausaha Negara Belanda, Wilma Mansveld, sambil menambah tindakan pantas diperlukan terhadap risiko di zon konflik.

"Tuan Pengerusi, negara saya sudah tidak sabar," katanya.

Terdahulu pada Isnin, Malaysia juga berkata pengesanan pesawat pada masa nyata mesti menjadi keutamaan untuk industri.

Walaupun pengesanan masa nyata pesawat komersial akan mempunyai impak kewangan, ia adalah terlalu penting untuk diabaikan, menurut Malaysia dalam kertas kerja yang dibentangkan untuk persidangan keselamatan ICAO yang berlangsung sehingga Khamis.

"Kami percaya, berdasarkan pengalaman malang kami, (ia) akan diimbangi oleh kelebihan yang meningkatkan keberkesanan dalam memberikan peringatan dan perkhidmatan mencari dan menyelamat.

"Kehilangan MH370 menunjukkan betapa pentingnya keperluan untuk meningkatkan sistem pengesanan pesawat demi keselamatan," kata Malaysia dalam kertas kerjanya.

"Pada hari ini dan usia ini, hakikat bahawa kapal terbang boleh hilang dan begitu sukar untuk mendapatkan perakam penerbangan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima."

Persidangan ICAO mungkin memanggil pesawat untuk menghantar isyarat pengesanan secara berkala dalam penerbangan biasa dan meningkatkan kelajuan jika terdapat masalah.

Artikel Berikut

Guan Eng Jawab PAS Hari Ini?

Artikel Lain