PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata beliau akan bertemu dengan para pemborong di negara ini minggu depan untuk mendapatkan penjelasan berhubung harga barangan yang disuarakan pengguna berikutan penurunan harga petrol. Beliau berkata adalah perlu untuk mendengar penjelasan daripada pemborong kerana ada yang mengatakan kenaikan harga barangan bukan hanya dipengaruhi oleh harga bahan bakar, tetapi dikaitkan dengan faktor lain termasuk kadar gaji minimum dan tarif elektrik. "Tapi kita dah dapat jaminan pemborong bahawa mereka tak akan naikkan harga barang, harga barang kita stabil, kuasa pembeli kita adalah tinggi. Pasar raya (dikunjungi)orang ramai kerana kuasa membelinya tinggi," katanya dalam sidang media mengenai program 'Business Over Coffee - A Session With Franchisors and Franchise International Malaysia (FIM) 2015' di sini, Rabu. Beliau berkata adalah penting untuk mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni serta aman di negara ini sebagaimana perpaduan yang dinikmati rakyat pada masa sekarang. "Saya nak wujudkan suasana cukup harmoni di negara ini macam mana perpaduan yang dicapai di negara ini begitu jugalah dalam konteks perniagaan, peniaga seronok, pengguna seronok," katanya. Hasan mengakui terdapat suara-suara rakyat yang mendesak agar harga barang diturunkan berikutan penurunan harga petrol ketika ini dan mahu memulaukan peniaga yang ingkar. "Itu hak pengguna untuk mereka suarakan. Pengguna menyuarakan ini kerana waktu dulu-dulu saya umum harga petrol (naik), mereka kata harga barang naik sebab harga petrol naik. "Bila petrol turun tapi harga masih tak turun, pengguna mengadu kepada saya. Itu hak mereka," katanya. Hasan berkata selaku menteri bertanggungjawab menjaga kebajikan peniaga dan penjaja, beliau tidak boleh menyuruh orang ramai memulaukan pihak yang enggan menurunkan harga barangan. "Saya tak boleh suruh boikot kerana semua ini (terletak) bawah perdagangan dalam negeri. Saya juga kena lihat nasib peniaga dan penjaja. Jangan jejaskan keuntungan peniaga. Kena adil kerana masa banjir dulu mereka yang datang menderma," katanya.