PETALING JAYA: Pengundi muda akan memastikan Pakatan Rakyat terus menjadi pembangkang di Malaysia sekiranya sikap suka bercakaran sesama sendiri antara tiga komponennya tidak dihentikan segera. Amaran keras itu dibuat oleh aktivis politik dan kumpulan mahasiswa yang mengakui bahawa mereka kecewa dan sudah tidak meletakkan sebarang harapan kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Lantang mengkritik sikap ego kepimpinan PAS, DAP dan PKR, aktivis Kelab Bangsar Utama, Mandeep Singh berkata sepanjang tujuh tahun Pakatan Rakyat dibentuk, gabungan itu tidak pernah lekang dengan pelbagai pelbalahan dan pertikaian. Mandeep kecewa kerana Pakatan Rakyat masih gagal mencari pengganti sekiranya Anwar dipenjarakan. "Tujuh tahun anda berada dalam satu pakatan, takkan tujuh tahun tak boleh selesaikan isu-isunya. Ini masalahnya apabila Majlis Presiden tidak berfungsi. Sekarang ini Pakatan Rakyat hanya ada satu moto iaitu 'tembak sesama sendiri'. "Mereka kemudiaan salahkan media, tapi mereka juga yang bergaduh setiap hari dalam media. Jadi nak bercakap soal harapan? Tapi saya tak melihat mereka sebagai harapan. "Kamu kata anak muda komited menyokong Pakatan...bawa kamu naik di Selangor dan menangkan 89 kerusi Parlimen tapi ingat anak muda juga boleh terus jadikan kamu pembangkang di Malaysia," katanya pada Selasa malam. Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum 'Pakatan Rakyat: Masihkah Ada Harapan' yang turut dihadiri kepimpinan pemuda DAP, PKR dan PAS anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa). Hadir sama sebagai ahli panel ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat; Ketua DAPSY Malaysia, Teo Kok Seong dan jurucakap Pro Mahasiswa Nasional Universiti Malaya (UM) Luqman Nul Haqim. Terbaharu PAS dan DAP terpalit dengan perbalahan berhubung pelaksaan hukum hudud di Kelantan dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang. Sebelum ini ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat turut berhadapan krisis berpanjangan berhubung pertikaian pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu selepas 'Langkah Kajang' yang dicipta PKR. Mandeep terus menghangat forum tersebut apabila mencabar PAS supaya menyingkirkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika veteran parti itu gagal memainkan peranannya untuk kepentingan Pakatan Rakyat. "Realitinya Jawatan Kerja PAS Pusat tidak berfungsi kerana keputusan parti itu hanya dibuat oleh Datuk Seri Hadi. "Muktamar PAS pada bulan Jun ini. Jadi PAS harus jelas ke mana hala tuju parti kamu. Kalau kamu harus singkirkan presiden kamu...singkirkan," katanya sambil disambut tepukan gemuruh penonton yang hadir. Mengulas lanjut Mandeep berkata beliau yakin Pakatan Rakyat akan terus bergolak sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan meliwat. Jelas beliau sehingga kini pakatan itu gagal mencari pengganti yang layak untuk memimpin gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. "Pada 10 Februari ini sama ada Anwar masuk (penjara) atau tidak...kita anggap beliau masuk. Kemudian beberapa hari lepas itu Pakatan Rakyat akan terus bergaduh apabila nak berhadapan pilihan raya kecil di Permatang Pauh. "Saya tak nampak siapa lagi yang akan jadi ketua Pakatan Rakyat. Nak letak Wan Azizah, pastinya PAS tak setuju...nak letak (Mohamed) Azmin (Ali) pun akan ada yang tak setuju. "Jadi saya tak meletakkan apa-apa harapan lagi kepada mereka. Tapi nasib baik kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) juga tak kuat pada masa ini," katanya. Sementara itu Luqman yang turut menyokong pandangan Mandeep berkata, golongan muda sedia menggalas peranan yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat. Menurutnya, kepimpinan muda termasuk golongan mahasiswa yakin mereka mampu menyumbangkan idea dan gerak kerja yang lebih baik demi masa depan Malaysia. "Kalau Pakatan tak boleh, biar kami sahaja yang bertanding dalam pilihan raya dan buat perubahan. Kami sudah buktikan pada PRU yang lalu apabila ada wakil bertanding di Parlimen Pekan," katanya. Selain itu Luqman berkata parti komponen Pakatan Rakyat wajar menukar kepimpinan sedia ada yang dilihat gagal memainkan peranan dengan sebaiknya. "Perubahan mesti berlaku dalam parti. Pakatan Rakyat...kalau nak maju ke hadapan, pucuk pimpinan perlu berubah, semakin tua ini, cakap pun kadang-kadang entah apa-apa. "Orang muda ada idea yang lebih segar,” katanya.