suria

PLKN Lahir Remaja Bertanggungjawab Terhadap Agama, Keluarga, Negara

Keluarga menemui pelatih di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai, Perak

PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disifatkan sebagai platform dalam melahirkan generasi muda yang lebih matang, berpatriotik dan lebih bertanggungjawab.

Selain itu, rata-rata ibu bapa dan keluarga pelatih yang ditemui mStar Online turut mengakui bahawa remaja yang mengikuti PLKN telah melalui proses tranformasi untuk menempuh alam selepas persekolahan.

Tinjauan di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai, Perak mendapati, keluarga yang hadir menemui pelatih bersyukur kerana anak-anak dan saudara mereka didedahkan dengan program tersebut.

Mad Hamdan Dul Salam, 39, (berbaju oren) berkata, PLKN merupakan satu platform yang berkesan dalam mematangkan remaja selepas mereka keluar daripada alam persekolahan.

"PLKN merupakan satu pendedahan yang baik untuk remaja pada masa kini, kerana mereka terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang boleh mengikis sifat bertanggungjawab terhadap agama, keluarga dan negara.

"Menerusi modul dan disiplin yang diterapkan, mereka seperti dipaksa untuk menjadi insan yang lebih baik serta mampu berfikir dengan matang.

"Kalau latihan dan disiplin sama hendak diberi oleh keluarga masing-masing, ia mungkin gagal. Tetapi di PLKN mereka perlu mengikutinya," katanya ketika ditemui di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai, Perak.

Anim Azira Mat Zain, 31, yang merupakan kakak kepada seorang pelatih lelaki pula berpendapat, adiknya telah menunjukkan perubahan dari segi pergaulan dan lebih bertanggungjawab terhadap agama Islam apabila melalui program tersebut.

"Ketika di kem, mereka didedahkan dengan solat jemaah dan pergaulan mengikut adab, sama ada lelaki atau perempuan. Saya yakin perkara ini amat disukai setiap keluarga.

"Jika timbul sedikit masalah itu mungkin perkara biasa. Tetapi apa yang penting mereka diisi dengan ilmu dan sifat yang baik untuk menempuh alam dewasa," jelasnya.

Seorang bapa, Seng Ming Chai, 51, pula memberitahu, keluarganya kini lebih yakin terhadap kematangan anak mereka selepas mengikuti PLKN.

"Dua anak saya mengikuti PLKN, kali ini anak lelaki. Mereka berubah dan lebih matang selepas habis PLKN. Saya juga tidak risau lagi untuk biarkan mereka berkerja di luar dari Perak.

"Malah mereka juga menjadi lebih kuat untuk menghadapi sesuatu situasi. Sebab itu saya merasa lega apabila seorang lagi anak dipilih untuk mengikuti PLKN pada tahun ini," ujarnya yang tinggal di Teluk Intan.


PLKN, Kem Sinaran Suria, Sungkai, Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain